Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum ustaz, nak tanya, adakah batal puasa saya jika doktor memasukkan kamera endoskop ke dalam hidung saya untuk pemeriksaan luka pembedahan septum hidung saya, untuk makluman, kamera endoskopi itu dimasukkan ke dalam hidung saya tetapi tidaklah sampai ke had tekak saya dan pada masa itu juga, doktor juga ada menyembur ubat kebas ke dalam hidung saya sebelum memulakan prosedur ini. Mohon pencerahan untuk isu ini.
Jawapan
Di sini diperincikan had zahir bagi hidung yang tidak membatalkan puasa.
Antara perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauf (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.”
Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji (1/342)
“Rongga hidung mempunyai had tertentu yang boleh menyebabkan batal puasa iaitu tidak melepasi had pangkal hidung (منتهى الخيشوم) (tulang tipis bahagian atas di antara hidung dan otak”
Rujuk Al-Manhaj al-Qayyim Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyah (246)
Oleh yang demikian, sesuatu yang masuk ke dalam rongga hidung akan membatal puasa apabila sesuatu dimasukkan sampai melepasi tulang tipis bahagian atas di antara hidung dan otak atau melepasi kawasan rongga di bahagian dalam (جوف) atau tekak.
Justeru berdasarkan soalan, sekiranya kamera endoskop tidak dimasukkan melebihi kawasan zahir hidung yang dinyatakan di atas atau hanya sampai ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling hujung) maka tidak batal puasa.
Begitu juga, sekiranya ubat bius dimasukkan tidak melebihi kawasan hidung yang dinyatakan di atas maka tidak batal puasa.
Sekian, terima kasih.