BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ingin bertanya selepas keluarnya air mani dan saya terus pergi kencing seterusnya mandi wajib, kemudiannya setelah selesai mandi wajib terdapat air yang keluar dari zakar dan tidak berwarna tetapi agak melekit dan tidak berbau seperti air mani. Adakah ianya air wadi ataupun lebihan air mani dan adakah perlu mandi wajib? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

1) Sekiranya keluar cecair jernih yang melekit dan anda tidak dapat memastikan sama ada cecair yang keluar itu air mani atau mazi, maka menurut pandangan yang muktamad dalam Mazhab Syafie, hendaklah memilih untuk menghukumkan salah satu daripada keduanya (iaitu memilih sama ada air mani atau mazi).

2) Sekiranya anda yakin bahawa cecair yang keluar itu adalah air mani maka wajib untuk mengulangi semula mandi wajib. Namun sekiranya anda yakin bahawa cecair itu adalah mazi, maka tidak perlu mengulangi semula mandi wajib tersebut. Akan tetapi hendaklah membasuh kemaluan dan berwuduk jika ingin melakukan ibadah yang mensyaratkan wuduk. Ini kerana air mazi hukumnya najis dan boleh membatalkan wuduk.

3) Walau bagaimanapun, sekiranya anda yakin bahawa cecair yang keluar itu adalah mani, maka wajib untuk mengulangi semula mandi wajib tersebut sekalipun ia (mani) keluar dalam keadaan apa sekalipun sama ada dalam keadaan bersyahwat atau tidak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 20

message user image