Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Saya ingin bertanya mengenai hukum menyewakan akaun Mobile Legends yang mengandungi elemen spin/gacha/bingo. Dalam situasi ini, akaun tersebut dibeli daripada pemilik asal, tetapi saya tidak melakukan sebarang tambah nilai (topup) atau perbelanjaan tambahan di dalamnya. Saya hanya menyewakan akaun tersebut kepada pemain lain tanpa menambah sebarang kandungan berkaitan elemen perjudian.
Adakah perbuatan ini dibenarkan dalam Islam, atau adakah ia masih dikira sebagai terlibat dalam unsur yang dilarang?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, secara umumnya bermain permainan atau menyewakan akaun permainan dalam talian adalah bergantung kepada pengisian yang terdapat dalam permainan tersebut. Sekiranya permainan tersebut mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti perjudian, gambar lucah yang mengghairahkan atau apa-apa perkara yang diharamkan dalam syarak maka permainan atau akaun permainan yang disewakan tersebut menjadi haram.
Namun begitu, jika akaun tersebut digunakan hanya untuk bermain tanpa melibatkan sebarang aktiviti yang haram seperti perjudian, pertaruhan wang dikalangan pemain, melekakan sehingga mengabaikan kewajipan maka ia adalah diharuskan.
Sekian, terima kasih.