BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan

Soalan saya:

Apakah hukumnya jika suami saya bertaklik, jika sekiranya saya masih tetap dengan keputusan untuk bercerai dengan dia, dia akan kembali kepada agama asalnya?

Taklik tu tak dilafazkan depan saya sendiri tapi dia ucapkan pada anak lelaki saya. Manakala anak lelaki saya tak ceritakan kepada saya berkenaan kata² papa dia tu. Anak saya ceritakan kepada neneknya iaitu ibu saya sendiri. Lalu ibu saya yang sampaikan hal tu kepada saya.

Kami dalam proses bercerai. Saya file kes dalam bulan Ogos 2024. Kes masih lagi berjalan dan belum selesai.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada ucapan suami: "jika sekiranya saya masih tetap dengan keputusan untuk bercerai dengan dia, dia akan kembali kepada agama asalnya" Imam al-Nawawi menjelaskan perkara ini dalam kitabnya Raudah al-Talibin ketika beliau menyatakan dengan menukilkan perkataan al-Mutawalli:

وَالْعَزْمُ عَلَى الْكُفْرِ فِي الْمُسْتَقْبَلِ كُفْرٌ فِي الْحَالِ، وَكَذَا التَّعْلِيقُ بِأَمْرٍ مُسْتَقْبَلٍ، كَقَوْلِهِ: إِنْ هَلَكَ مَالِي أَوْ وَلَدِي تَهَوَّدْتُ، أَوْ تَنَصَّرْتُ

Maksudnya: Keazaman untuk keluar dari agama Islam pada masa hadapan menjadikan seseorang itu kufur. Demikian juga perbuatan taklik keluar islam atau murtad dengan perkara yang akan berlaku seperti seseorang berkata “jika hartaku hilang atau anak aku mati, aku jadi yahudi atau aku jadi kristian atau Jika kamu teruskan cerai, saya akan kembali kepada agama asal saya atau sebagainya”.

Justeru, perbuatan mentaklik urusan ibadah atau urusan seharian kita dengan keluar dari Islam adalah sesuatu perkara yang dilarang. Oleh yang demikian, individu yang telah melakukan perbuatan ini perlu bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah untuk kembali kepada agama Islam. Setiap perkataan, perbuatan atau iktikad perlu selari dengan pegangan akidah Islam. Setiap muslim perlu berhati-hati dalam setiap ucapan yang dikatakan supaya tidak mengucapkan  sesuatu yang boleh menjadi penyebab kepada murtad atau keluar dari agama. Setiap perkataan dan perbuatan seorang muslim perlu dijaga dan diteliti kerana setiap perbuatannya pasti akan dipertanggunjawabkan di hadapan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah Yasin ayat 65 :

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Pada hari ini kami tutup mulut mereka. Tangan-tangan mereka akan berkata-kata kepada kami dan kaki-kak i mereka akan bersaksi terhadap apa yang telah mereka usahakan.

Ucapan yang dikatakan oleh suami itu tidak membawa kepada berlakunya taklik talak. Sebaliknya ucapan itu bermakud jika isteri ingin bercerai dengannya, suami akan keluar dari agama Islam. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image