BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Tajuk: Pertanyaan Mengenai Status Puasa bagi Penghidap Epilepsi yang Diserang Sawan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Saya ingin meminta penjelasan mengenai hukum puasa bagi individu yang menghidap epilepsi. Jika seseorang sedang berpuasa dan mengalami serangan sawan pada siang hari, adakah puasanya dikira batal?

Selain itu, jika serangan sawan menyebabkan individu tersebut tidak sedarkan diri untuk tempoh tertentu, adakah ia memberi kesan kepada puasanya sama ada sah atau tidak? Bagaimana pula jika selepas serangan, individu itu perlu minum air atau mengambil ubat untuk memulihkan diri?

Saya amat menghargai penjelasan daripada pihak tuan/puan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Hukum puasa bagi seseorang yang mengalami serangan sawan adalah sah sekiranya tempoh tersebut adalah pada sebahagian hari sahaja. Namun, jika keadaanya yang tidak sedar berpanjangan sepanjang hari, maka puasanya terbatal, dan wajib diganti. Imam al-Nawawi berkata:

لَوْ نَوَى مِنْ اللَّيْلِ ثُمَّ أُغْمِيَ عَلَيْهِ جَمِيعَ النَّهَارِ لَمْ يَصِحَّ صَوْمُهُ عَلَى الْمَذْهَبِ

Maksudnya: Sekiranya berniat pada malam hari kemudian pengsan pada keseluruhan siangnya, maka tidak sah puasanya di sisi mazhab.

Manakala, sekiranya ubat perlu diambil setelah serangan sawan, dengan tanpanya memberi kemudaratan kepada pesakit, maka diharuskan untuk berbuka puasa dan wajib diganti. Imam al-Nawawi berkata:

وان لم يقدر على الصوم لمرض يخاف زيادته ويرجي البرء لم يجب عليه الصوم

Maksudnya: Dan jika dia tidak mampu berpuasa kerana penyakit yang dikhuatiri bertambah dan diharapkan kesembuhannya, maka tidak wajib baginya berpuasa. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 8

message user image