Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum ustaz , saya nak bertanya mengenai mandi wajib junub ketika dalam bulan ramadhan . waktu tengah malam bila suami isteri bersama tetapi lewat bangun terlepas waktu subuh . Dan suami isteri ini pula melambatkan mandi wajib junub sampai pukul 8 pagi macamtu. Adakah batal puasa suami isteri ini kalau tidak mandi wajib selepas habisnya waktu imsak sahur ?
Maafkan saya jika ada salah silap yang saya tuliskan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, mandi hadas tidak termasuk dalam syarat sah puasa. Sehubungan itu, puasa suami isteri tidak batal jika mereka melambatkan mandi wajib hingga selepas Subuh, bahkan hingga pukul 8 pagi atau lebih. Namun, bagi mereka yang berhadas besar, perlu mandi wajib untuk menunaikan solat.
Melewat-lewatkan mandi wajib selepas bersama isteri pada malam hari bulan Ramadhan sehingga terbitnya fajar tidak menghalang sahnya puasa, sebaliknya makruh melakukan demikian itu. Justeru, sunat bersegera untuk mandi wajib sebelum terbitnya fajar sepertimana hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah (RA):
Maksudnya:"Daripada Aisyah dan Ummu Salamah (RA), bahawa Nabi SAW pernah masuk waktu Subuh dalam keadaan berjunub kerana bersama isterinya, kemudian Baginda mandi dan terus berpuasa." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Oleh itu, meskipun, sah puasanya, janganlah memandang remeh hal tersebut kerana ia berkaitan soal ibadah kita. Justeru itu, jika sengaja melambat-lambatkan mandi wajib sehingga luput waktu solat subuh, maka dia berdosa kerana meninggalkan solat Subuh dengan sengaja.
Sekian, terima kasih.