BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

 

Saya ada soalan berkenaan pekerjaan saya. Saya bekerja di bahagian visa dan pass untuk pelajar antarabangsa di universiti tempatan. Saya dikehendaki melakukan renewal untuk student pass di website imigresen. Akan tetapi, saya perlu memuat naik beberapa dokumen berkaitan pelajar. Antaranya ialah insurans pelajar. Saya tidak pasti apakah jenis insurans yang pelajar2 berkenaan gunakan kerana tidak dinyatakan pada dokumen itu. Berkemungkinan mereka menggunakan insurans jenis konvensional. Jadi bagaimanakah status gaji pekerjaan saya? Adakah pekerjaan itu dibolehkan?

 

Mohon penjelasan pihak tuan/puan. Terima kasih. 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إن الحلال بين وإن الحـرام بين

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, (Riwayat al-Bukhari)

Puan hanyalah seorang pentadbir yang bertanggungjawab atas urusan memuat naik dokumen yang telah diselesaikan oleh pihak pelajar. Sekalipun mereka menggunakan insurans konvensional, perkara tersebut berada di luar kawalan puan dan bukan keputusan yang dibuat oleh puan sendiri. Oleh itu, dosa ditanggung oleh individu yang melanggan insurans tersebut, manakala status gaji puan tetap halal kerana tugas puan hanyalah sebahagian daripada proses pentadbiran semata-mata.

Namun, sekiranya puan terlibat secara langsung dalam menggalakkan, menguruskan, atau membantu pembelian insurans konvensional, maka ia boleh dikategorikan sebagai bersubahat, dan hukumnya menjadi haram. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 10

message user image