BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya ada pertanyaan. Minggu lepas saya ada memesan makanan melalui GrabFood pada pukul 10 p.m. Pada kebiasaannya, makanan akan sampai mengikut jam durasi yang telah dijanjikan pada aplikasi GrabFood. Dalam kes saya, pihak GrabFood berjanji untuk menghantar makanan dalam 45 minit ke 50 minit. Namun selepas 2 jam menunggu, makanan masih belum sampai tetapi status makanan telah pun bertukar kepada "Delivered". Saya pun membuat laporan untuk direfund duit saya kerana makanan yang dipesan tidak sampai dan saya juga dah tak mampu nak menunggu lagi.

Namun, pada jam 12.30 p.m., saya tergerak untuk pergi tengok diluar rumah buat kali terakhir. Tanpa pengetahuan atau apa-apa panggilan telefon dari pihak penghantar makanan, makanan yang dipesan telah diletakkan di atas tembok pagar rumah. Dengan terkilannya, saya ambil juga makanan tersebut dan makan kerana perut sudah lapar tapi makanan sudah pun sejuk dan ada yang hampir basi.

Lima hari kemudian, tiba-tiba saya ada terima duit refund daripada pihak GrabFood.

Persoalan saya, apakah hukum menggunakan duit refund tersebut? Adakah saya perlu pulangkan duit refund tersebut? Jika perlu, patutkah dipulangkan kesemuanya atau sebahagian sahaja kerana saya juga menanggung kerugian atas kelewatan servis penghantaran dan makanan yg dipesan? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, platform penghantaran makanan seperti GrabFood mempunyai sistem tersendiri dalam menangani kesilapan atau pelanggaran janji penghantaran. Dalam kes ini, anda telah menerima refund selepas membuat laporan, tetapi makanan juga telah dihantar, walaupun lewat tanpa makluman.

Sebaiknya, hubungi pihak GrabFood untuk memaklumkan perkara ini. Jika mereka mengesahkan bahawa refund diberikan kerana kesilapan mereka, maka duit tersebut boleh digunakan. Namun, jika terdapat keperluan untuk memulangkannya, maka wajar untuk mengembalikan sebahagian atau keseluruhannya berdasarkan kadar yang munasabah. Jika tidak dapat dipulangkan, boleh disalurkan sebagai sedekah sebagai langkah berhati-hati dalam muamalat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image