Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Mufti,
Saya nak bertanya jika kita menonton atau download cerita-cerita atau movie daripada third party, adakah ini dikira haram kerana tidak melalui medium yg sepatutnya seperti wayang atau membeli/membayar movie tersebut?
Hal ini kerana saya baru sahaja baca tentang pertanya dibawah segmen Jenayah berkaitan dengan penggunaan dan pembelian pirate software dan iye nya haram.
Sekian, terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, menonton atau memuat turun cerita atau movie daripada pihak ketiga tanpa pengetahuan pemilik asal boleh dikategorikan sebagai mengambil hak orang lain tanpa izin yang dipanggil sebagai ghasb yang merupakan suatu larangan dalam Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Ia juga merupakan hasil karya seseorang yang mempunyai perlindungan hak cipta melalui Akta Hak Cipta 1987 yang layak mendapat perlindungan harta intelek meliputi hasil karya muzik, seni, filem, rakaman, siaran dan karya terbitan. Dari sudut Syariah, konsep hak cipta ini sejalan dengan prinsip hifz al-mal (penjagaan harta) dalam Maqasid Syariah, yang menekankan kepentingan menjaga hak milik seseorang dan mengelakkan pencerobohan ke atas harta orang lain. Oleh itu, adalah tidak dibenarkan untuk seseorang mengambil atau menceroboh hak cipta orang lain untuk manfaat diri sendiri tanpa pengetahuan pemilik asal.
Sekian, terima kasih.