Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkaitan anak tidak sah taraf (perempuan). Sekiranya pasangan suami isteri berkahwin selepas anak itu dilahirkan dan anak tersebut disusukan oleh maknya (susu badan).
Apakah status antara anak dan suami? Adakah air wuduk antara mereka terbatal jika tersentuh antara satu sama lain? Aurat? Ahli keluarga yang lain? Sekian. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, di dalam mazhab shafi'i menyatakan bahawa anak luar nikah yang telah tsabit nasabnya dengan anak itu secara wiladah (kelahiran) lalu dia berkahwin dengan seorang lelaki, maka lelaki itu adalah ayah tirinya apabila dia sudah bersetubuh dengan ibunya dalam pernikahan yang sah. Ini dinamakan pengharaman secara musaharah (persemendaaan). Adapun tentang batasan aurat dan isu khalwat, bapa tiri adalah mahram mu`abbad (selamanya) kepada anak tiri, apabila sudah berlaku persetubuhan antara bapa tiri itu dan ibu mereka selepas mereka sah berkahwin. Ini berdalilkan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa':
Maksudnya: Dan (juga perempuan-perempuan yang diharamkan kamu berkahwin dengan mereka ialah) anak-anak perempuan tiri kamu yang telah kami setubuhi ibu-ibu mereka.
Selain itu, aurat antara rabibah (anak perempuan tiri) dengan bapa tiri mereka adalah sama batasan auratnya antara mereka dengan mahram yang lain iaitu antara pusat dan lutut. Begitu juga, tidak timbul isu khalwat jika mereka berada dalam satu rumah yang sama. Justeru, wudhuk tidak terbatal jika bersentuhan antara anak tiri dan bapa tiri. Selain itu, hukum mahram itu pula hanya terhenti kepada bapa tirinya sahaja dan tidak berlaku kepada keluarga bapa tiri tersebut berbeza dengan hubungan seseorang dengan bapa kandung.
Sekian, terima kasih.