BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada soalan berkaitan kenyataan di bawah:

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/4544-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-61-hukum-bertalfiq-kepada-mazhab-malik-dalam-bab-najis-sahaja

Semasa belajar di UK, saya ada gunakan pendapat mazhab Maliki kerana agak sukar untuk mempraktikkan mazhab Syafie secara menyeluruh lagi lagi di tempat majoriti non muslim dan orang Islam lain pun bermazhab lain. Cumanya, saya baru jumpa link ni, dan baru tahu syaratnya tentang kena ikut hukum hakam wudhu dan solat cara mazhab Maliki sekali dalam hal ni. Soalan saya ialah:

1. Adakah penggunaan saya berkenaan hukum ini tepat?
2. Apa hukumnya bila saya ikut pendapat dalam link ni tapi tidak tahu tentang syarat berkaitan wudhu dan solat itu?
3. Apabila saya pulang ke Malaysia, adakah saya perlu membersihkan diri semula dengan cara bersuci mazhab Syafie?

Mohon penerangan, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1) Secara umumnya, semua mazhab empat yang muktabar adalah diterima dan diamalkan dalam dunia Islam. Hukum bertalfiq atau berpindah mazhab dibolehkan sekiranya wujud keperluan seperti hajat dan darurat serta bukan bertujuan untuk bermudah-mudah dalam agama dan mengikut hawa nafsu.  Namun begitu, seseorang yang ingin mengikuti mazhab tertentu yang lain perlulah memahami dan menguasai mazhab tersebut tanpa mengikut secara sesuka hati. Justeru, sekiranya telah mengetahui disiplin sesuatu mazhab itu maka dia boleh bertaqlid mazhab tersebut. Perkara ini ditekankan kepentingannya agar menghindari percampuran antara mazhab dalam satu ibadah. Sebagai contoh, ketika berwuduk dan solat tuan mengikuti mazhab Maliki di UK maka tidak boleh bercampur antara mazhab Maliki dan Shafi'i serentak dalam bab ibadah tersebut. Perlu ada mengikut disiplin mazhab Maliki dalam bab wuduk dan solat.  

2) Bagi seseorang yang tidak mengetahui hukum-hakam dalam sesuatu mazhab yang diikuti tersebut maka dia tidak boleh mengikuti mazhab tersebut melainkan setelah dia mengetahui segala peraturan dan disiplin hukum-hakam dalam mazhab. Hal ini kerana jika seseorang itu tidak mengetahui mazhab dia telah melakukan sesuatu amal ibadah itu tanpa ilmu secara yakin mengenai kesahihan ibadah tersebut. Selain itu, orang awam WAJIB bertanya pelbagai hukum syarak kepada ulama dan mengikuti fatwa (ijtihad) mereka. Kewajipan tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' ayat 7 :

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui. 

Dalam ayat di atas, Allah SWT mengarahkan sesiapa yang tidak tahu (tentang sesuatu perkara) supaya bertanya kepada yang tahu. Ini menunjukkan bahawasanya manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu alim dan jahil. Dan yang jahil dikehendaki bertanya kepada yang alim mengenai perkara yang dia (jahil) perlukan tetapi tidak mengetahui mengenainya.

Justeru, segala ibadah yang dilakukan oleh tuan adalah dilakukan kerana kekurangan maklumat tuan ketika itu. Dan moga-moga Allah SWT menerima segala amal ibadah yang tuan telah lakukan sebelum ini.

3) Masyarakat awam perlu beramal mengikut mazhab Imam al-Syafi’i sepertimana yang ditetapkan oleh Ulil Amri setempat seperti di Malaysia mengikuti mazhab Syafi’i. Selain itu, tiada keperluan dan darurat yang mendesak untuk tuan tidak mengikuti mazhab al-Shafi'i. 

Tidak perlu untuk membersihkan diri semula menurut mazhab Syafi'i apabila pulang ke Malaysia. Namun perlu membersihkan diri mengikut mazhab Syafi'i apabila terjadi perkara yang mewajibkan berbuat demikian.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image