BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

 

Saya sebenarnya, saya malu untuk bercerita dan bertanya, saya merujuk kepada suami dan suami meminta untuk saya rujuk kepada Jabatan Agama. 

Kronologi :

1. Pada 4 July 2023 (bercerai talak Raj'i) di Mahkhmah Syariah Sepang yang difailkan oleh bekas suami

2. Dalam tempoh iddah bulan July, bekas suami ada tinggal bersama dengan saya serta anak no 3 di rumah kami di Setia Alam

3. Sebelum bercerai, suami telah memukul saya hingga menyebabkan kecederaan dan laporan Polis juga telah dibuat. Tetapi, pihak Polis menasihatkan saya supaya menarik balik        laporan Polis kerana bekas suami menyediakan nafkah. Jika diteruskan dengan siasatan, nafkah anak akan terabai. Jadi saya bersetuju.

4. Di bulan July, ketika tinggal bersama, suami telah menyentuh saya sebanyak 2 kali dan tiada lafaz yang dibuat (tanpa rela)

5. 30 August 2023 ketika saya sedang bekerja, suami maklumkan yang beliau akan datang ke rumah untuk mengambil semua barang dia. (Ketika ini kami tidak tinggalkan sebumbumg lagi.). Saya terpaksa EL (Cuti kecemasan) dan balik ke rumah untuk memberi laluan kepada beliau mengambil semua barang. Tetapi, berlaku pergelutkan antara saya dengan dia dan dia telah menyentuh saya sekali lagi tanpa rela dan tiada lafaz rujuk yang dibuat. 

6. Saya tidak memaklumkan kepada Pejabat Agama kerana bekas suami menggugut tentang nafkah anak

7. Sekarang saya telah failkan nafkah anak di mahkamah dan PERINTAH telah dikeluarkan

8. Saya sekarang telah berkhawin lain (Perkhawinan Ke 2) dan bekas suami pun sama

9. Sekarang saya berasa lega kerana telah failkan perintah dan telah berasa selamat dengan suami baru

10. Cuma saya masih musykil lagi dan was-was mengenai kejadian dalam tempoh iddah.

11. Semalam ketika saya failkan hadanah di Mahkhamah Shah Alam. Saya ada bertanya mengenai persoalan ini. Meraka maklum ia dibawah Jenayah Sivil. Sekarang apa yang perlu saya buat?

Saya mohon penjelasaan mengenai perkara ini, kerana ia melibatkan hukum, juga pahala dan dosa

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, dari sudut hukum syarak apabila berlakunya perceraian, maka haram bagi suami tinggal bersama-sama dengan bekas isterinya dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya tanpa rujuk, walaupun dalam iddah talak raj’ie, kerana dikhuatiri akan menjurus kepada perbuatan khalwat. Suami juga diharamkan berseronok-seronok dengan bekas isterinya yang ditalak raj’ie sebelum dirujuk. Pasangan yang telah bercerai dan tinggal bersama dalam tempoh iddah tanpa rujuk yang sah, maka mereka boleh disabitkan bersekedudukan sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 132(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Memandangkan perkara telah berlaku maka puan mohonlah kepada Allah SWT agar mengampunkan kesilapan yang telah dilakukan. Banyakkanlah berdoa, zikir dan amalan sunat agar Allah SWT memberkati serta mengampunkan dosa dan kesilapan yang pernah dilakukan. Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan taubat adalah jalan yang Allah SWT sediakan untuk hamba-Nya menginsafi dan menyesali serta kembali kepada Allah SWT dengan sepenuh jiwa. Ini sebagaimana hadis daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:

 كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)

Adapun, perkara yang melibatkan Jenayah Sivil, ia adalah di bawah bidang kuasa sivil dan puan bolehlah melihat kewajaran dan keperluan untuk memanjang kes tersebut atau sebaliknya. Perlu juga dilihat dari sudut kebaikan dan keburukan setelah nasing-masing mempunyai kehidupan yang baharu bersama pasangan masing-masing.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 11

message user image