BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Adakah seseorang yang menikahi dengan tangannya sendiri di siang hari di bulan ramadhan perlu membayar kafarah berpuasa 2 bulan berturut-turut sepertimana pasangan suami isteri yang berjimak di siang hari di bulan ramadhan?


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Dari sudut bahasa, onani menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. Lafaz الاستمناء atau onani itu berasal dari kata terbitan استمنى yang bererti usaha mengeluarkan air mani.

Manakala dari sudut istilah ia membawa maksud: “Mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”.

Menurut pandangan Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menerangkan istilah onani bahawa ianya adalah mengeluarkan mani tanpa berjimak, haram hukumnya seperti menggunakan tangannya, namun harus dengan menggunakan tangan isterinya. Oleh yang demikian, perbuatan onani adalah membatalkan puasa dan diwajibkan baginya qada' puasa yang terbatal disebakan keluar mani.

Namun begitu, keadaan ini tidak dikenakan kaffarah memandangkan ia bukan terbatal disebabkan persetubuhan. Kaffarah hanya dikenakan ke atas golongan yang terbatal puasanya disebabkan melakukan persetubuhan pada siang hari Ramadhan. Perihal ini dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam Minhaj al-Tolibin, katanya:

‌تَجِبُ ‌الْكَفَّارَةُ ‌بِإِفْسَادِ ‌صَوْمِ ‌يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ بِجِمَاعٍ أَثِمَ بِهِ بِسَبَبِ الصَّوْمِ

Maksudnya: Wajib kaffarah sebab merosakkan puasa sehari dari bulan Ramadhan dengan jimak yang ia berdosa dengan perbuatan jimak itu kerana puasanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 7

message user image