Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Boleh kah sorang isteri yang Masih dalam iddah kematian suami, hadir pendaftaran untuk sambung belajar Dan boleh kah untuk hadir kelas memandu dalam tempoh iddah?
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa seorang wanita yang kematian suami wajib menjalani iddah selama tempoh 4 bulan 10 hari dengan mengikuti garis panduan beriddah. Dalam erti kata lain, seorang wanita yang beriddah kerana kematian suami, wajib menetap di rumah dan tidak boleh meninggalkannya melainkan sekiranya terdapat keperluan dan darurat yang tidak dapat dielakkan. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, disarankan agar menunggu selesai iddah barulah membuat pendaftaran untuk sambung belajar jika tarikhnya boleh dipinda dan menghadiri kelas memandu.