Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assᴀʟᴀᴍᴜᴀʟᴀɪᴋᴜᴍ.. saya dan suami baru 7 bulan berumah tangga. Suami juga baru lagi bekerja sebagai penjawat awam. Gaji pon tidaklah besar. Sebelum kami berkahwin, keluarga suami nampak okay je tak ada apa-apa masalah. Suami saya anak sulung daripada 3 orang adik beradik dan dia seorg je anak lelaki. Ayah suami adalah pekerja kontraktor kemudian ayahnya tukar kerja sebagai pengawal keselamatan umur lingkungan 50an. Mak suami juga adalah pekerja kilang umur dalam lingkungan 40an. Selepas kami berkahwin, ayah suami tiba-tiba berubah sikap. Mungkin terpengaruh dengan kawan sekerja yang jauh lebih muda. Hari demi hari ada sahaja masalah dari ayah suami. Kadang-kadang Orang datang rumah kutip hutang. Mula-mula sikit. Lama kelamaan, jadi ribuan ringgit. Suami syak ayahnya terlibat dengan judi online. Yang jadi mangsa untuk lunaskan hutang ayah suami adalah mak dan adik perempuan suami. Sampai duit makan pon tak ada. Kadang-kadang ada juga suami bantu mak dan adik nya. Tetapi, suami pon cukup-cukup makan je untuk kami suami isteri. Untuk pengetahuan saya juga bekerja. Apabila suami kurangkan nafkah saya, saya diam sahaja. Kadang-kadang kalau suami bagi RM200, nanti hujung bulan suami minta balik sebab tak cukup duit belanja. Barang keperluan saya, pakaian sye semua saya beli sendiri. Sudah beberapa kali juga saya bergaduh dengan suami, mengapa dia kawin dengan saya jika dia tak boleh menafkahi saya. Suami juga selalu mengungkit bahawa dia dah banyak habis kan duit untuk saya. Kenapa perlu mengungkit sedangkan semasa dia tak cukup duit makan saya hulur. Bila dia ada duit dia tak ganti semula. Saya redha untuk berkongsi dan korban apa sahaja untuk suami. Tapi setiap kali dia mengungkit, hati saya sakit. Lama-lama jadi tawar hati. Jadi tak ikhlas bila bantu dia. Seolah-olah saya selalu habiskan duit dia. Selama kami berkahwin dia ada belikan saya bag dan kasut. Tak habis RM500 pon. Dia tolong keluarga nya sampai beribu-ribu. Bila tak ada duit, dia salahkan saya sebab saya tak tolong dia. Saya kerja pon ada komitmen sendiri perlu bayar bil telefon, kereta, minyak, makan. Saya tak pernah minta dia duit. Kalau dia beri baru saya ambil. Sikap ayah nya semakin hari semakin melampau. Mak suami beri duit untuk bayar bil elektrik dan air, tetapi ayah suami tak bayar pon. Elektrik rumah hampir nak kena potong. Rumah yang mereka tinggal, dan ada sebuah kereta bezza, mak nya yang bayar. Suami pula sebagai gerento kereta maknya. Apabila maknya tak bayar duit kereta, suami lah yang bayarkan. Suami saya cuma ada sebiji motor dan sudah habis bayar. Saya cuba faham keadaan suami cuba membantu maknya. Suami cakap dengan mak nya suruh minta cerai sahaja jika perangai ayah nya berterusan macam tu. Tetapi mak cakap, nanti nak pergi kerja tak ada siapa hantar. Jika suami dalam keaadan tertekan, dia akan lepaskan pada saya dan ungkit hal berekenaan duit. Adakala saya rasa menyesal kawin. Saya pernah minta suami lepaskan saya. Sebab saya tak tahan suami suka mengungkit. Lebih baik saya hidup sendiri. Saya pon boleh berdiri di kaki sendiri. Tak perlu kan dia untuk menanggung saya. Dia pon tak perlu tambah dosa kerana culas beri nafkah kepada isteri. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Saya tengok ayah saya tak culas beri nafkah kepada mak saya. Kalau pinjam duit mak saya dia akan bayar semula. Apa yang perlu saya buat untuk terus bertahan? Adakah berpisah jalan yang terbaik untuk kami berdua? Saya tak suka emosi dan perasaan saya terganggu. Apa yang patut saya cakap kepada suami yang suka mungungkit? Adakah saya yang bersalah kerana tak bantu suami?
Jawapan
Dalam kehidupan berumahtangga sudah pasti ada cabaran dan ujian. Ia adalah suatu perkara yang lazim berlaku kepada mana-mana pasangan yang telah berkahwin sama ada baru mahupun lama. Sudah pasti semua yang berlaku itu ada hikmah yang tersingkap bagi kita mematangkan kehidupan sebagai suami dan isteri.
Namun begitu, Islam banyak memberi solusi dalam menghadapi ujian dan cabaran berumahtangga antaranya pasangan boleh membuat aduan dan khidmat nasihat kepada pihak yang berautoriti sama ada di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran atau ke Mahkamah Syariah. Di samping itu pasangan disarankan untuk memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar ujian dan masalah yang berlaku itu dipermudahkan Allah SWT untuk diselesaikan dengan cara yang terbaik.
Sama ada perlu berpisah atau tidak, itu bergantung kepada rumusan atau kesimpulan yang boleh puan dan suami ambil setelah melalui sesi khidmat nasihat di Pejabat Agama Islam atau setelah puan berbincang bersama suami berdua tanpa melibatkan pihak yang lain.
Dalam situasi seumpama ini, pasangan hendaklah sedaya upaya untuk bertoleransi dalam banyak perkara. Dalam keadaan suami yang tidak berkemampuan, isteri boleh cuba membantu sekiranya isteri itu ada kemampuan yang lebih untuk membantu suaminya, namun sekiranya isteri juga tidak ada kemampuan, maka suami seharusnya memahami keadaan itu dan masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada dan saling memberi semangat dan motivasi untuk sabar dan tenang dalam meghadapi permasalahan ini. Suami tidak boleh untuk menyalahkan isteri sekiranya dia tidak mampu dan suami atau pasangan tidak boleh mengungkit perkara-perkara yang lepas kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku malah akan membuka ruang yang lebih besar untuk saling salah menyalahkan serta perasaan tidak puas hati.
Oleh itu, perbanyakkanlah berbincang antara suami isteri untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik, elakkanlah ungkit mengungkit dan kuatkan doa dan munajat kita kepada Allah SWT serta yakinlah bahawa kalau kita jaga hak Allah, jaga ibadah pasti Allah SWT akan membantu mempermudahkan urusan kita.
Sekian, terima kasih.