Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada mengambil perancang secara suntikan. Kesannya saya mengalami haid berpanjangan (sekarang lebih 15 hari & haid saya kebiasaannya 8 hari sahaja). Jadi saya tahu sekarang darah ini darah istihadah. Persoalan saya, untuk bulan puasa yang akan datang nanti adakah saya boleh berpuasa sepanjang sebulan itu jika haid saya masih ada sepanjang sebulan di bulan puasa tu? Sebab doktor cakap ada orang yang akan datang haid berbulan-bulan tanpa henti selepas ambil perancang ini.
Jika saya tidak boleh berpuasa berterusan sepanjang sebulan walaupun hari-hari masih keluar darah, bagaimana saya ingin tahu bila darah tu adalah darah haid yang haram untuk saya berpuasa?
Terima kasih.
Jawapan
Di dalam mazhab al-Shafi'i, tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam. Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari. Secara umumnya, jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang keluar disebabkan oleh penyakit. Bagi darah yang keluar selepas daripada 15 hari maka ia tidak dikira sebagai darah haid dan solat serta puasa Ramadhan adalah wajib ditunaikan pada waktu itu.
Walau bagaimanapun, jika darah keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid, berkemungkinan ia merupakan keadaan darah bercampur antara haid dan istihadhah. Ia tidak hanya boleh ditentukan dengan 15 hari pertama adalah haid dan bakinya adalah istihadhah. Untuk membezakan antara darah haid dan istihadhah ia boleh ditentukan dengan dua kaedah berikut:
Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah sama ada darah kuat atau lemah melalui perbezaan warna dan sifat darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah adalah darah istihadhah. Sebagai contoh 7/12 hingga 13/12 adalah darah kuat dan darah keluar sebelum 7/12 atau selepas 13/12 adalah darah lemah. Maka, hanya darah kuat yang keluar dari 7/12-13/12 sahaja dianggap darah haid dan selainnya adalah darah istihadhah. Jika tidak dapat dipastikan perbezaan darah tersebut kuat atau lemah, boleh menggunakan kaedah kedua iaitu;
Kaedah adat kebiasaan haid puan sebelum puan mengambil pil perancang. Jika adat sebelumnya adalah 7-8 hari adalah haid dan 26 hari adalah suci, maka darah yang keluar boleh ditentukan mengikut adat kebiasaan haid puan.
Berdasarkan kenyataan puan, tempoh haid puan secara adatnya adalah 8 hari. Selain tempoh haid, tempoh suci puan juga hendaklah dipastikan agar dapat mengetahui adakah darah yang keluar merupakan darah haid atau istihadhah. Jika telah ditentukan perbezaan darah haid dan istihadhah, didapati terdapat waktu yang sepatutnya adalah istihadhah, hendaklah diganti semula solat yang tertinggal ketika itu. Begitu juga dengan puasa Ramadhan, apabila telah berlalunya 8 hari haid, maka secara adatnya hari yang berikutnya merupakan darah istihadah, maka berpuasalah pada hari puan didatangi istihadah sehingga selesai tempoh suci secara adat kebiasannya bagi puan.
Sekian, terima kasih.