BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam.

Saya ingin bertanya tentang permasalahan wanita. 

Saya musykil untuk berpuasa atau tidak berpuasa pada bulan ramadan ini kerana saya telah keliru sama ada datang bulan atau tidak. Saya sepatutnya datang bulan pada tarikh 3/3/2025. Namun setelah 4/3/2025 masih belum datang bulan lagi. Kemudian faraj saya mengeluarkn cecair berwarna merah sedikit namun telah terhenti di mana saya tidak perlu memakai pad pun tidak akan terkena pada seluar dalam. Masalahnya ianya pertama kali berlaku pada saya di mana ianya berlaku pada bulan ramadan di mana saya wajib berpuasa dan solat. Saya tidak pasti sama ada perlu berpuasa dan solat seperti biasa atau tinggalkan terus puasa dan solat. Diharap persoalan saya ini dibalas memandangkan saya tidak pasti tindakan yang perlu diambil iaitu teruskan puasa & solat seperti biasa atau tidak. Saya risau sekiranya meninggalkan puasa juga haram hukumnya. Apa pendekatan terbaik yang perlu saya ambil dalam hal ini? Diharap pihak tuan/puan dapat membantu saya dengan menjawab soalan ini. 

Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Setelah diteliti butiran yang diberikan oleh puan melalui telefon pada 10 Mac 2025, tarikh 4 Mac 2025 adalah waktu yang sepatutnya haid namun darah keluar secara terputus-putus bermula tarikh 4 Mac sehingga 10 Mac 2025 dan semakin berkurang pada hari ini (10 Mac 2025) dengan sifat darah berwarna merah namun dalam jumlah yang sedikit dan tekstur berlendir seperti keputihan sepanjang tempoh tersebut. Seterusnya, puan berkemungkinan akan bersih pada esok hari (11 Mac 2025). Ini bertepatan dengan tempoh kebiasaan haid (adat) puan iaitu 7 hari. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan puan tidak merekod waktu darah keluar. Oleh itu, persoalannya ialah sama ada darah yang keluar adalah darah haid atau darah istihadhah yang membolehkan solat dan puasa.

Tempoh haid sekurang-kurangnya sehari semalam iaitu 24 Jam dan sebanyak-banyaknya ialah 15 hari 15 malam. Tempoh 24 jam terbahagi kepada dua iaitu:

  • Darah keluar secara berterusan

  • Darah keluar secara terputus-putus

Darah terputus boleh dikategorikan kepada dua:

  1. Fatrah: Keadaan tempoh terputus darah mengalir keluar, namun sekiranya dimasukkan kapas ke dalam faraj, kelihatan kesan warna darah pada kapas. Oleh itu, fatrah ini dikira haid tanpa perselisihan ulama.

  2. Naqa’:  Keadaan tempoh terputus darah mengalir keluar dan tidak kelihatan kesan darah (suci) pada kapas setelah dimasukkan ke dalam faraj,

        (Rujuk Hawasyi Syawarni wa Ibn Qassim al-Ibadi fi Syarh al-Minhaj 1/ 276) (Rujuk Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah   al-Faldz al-Minhaj (1/294)

Keadaan darah yang keluar secara terputus-putus (naqa’) perlu direkod jumlah minit atau jam bagi darah yang keluar untuk tempoh 15 hari. Sekiranya jumlah jamnya 24 jam atau lebih maka darah yang keluar adalah darah haid. Namun sekiranya jumlah jamnya kurang 24 jam maka darah yang keluar adalah darah penyakit (istihadhah).

Berdasarkan butiran yang diberikan, puan keluar darah pada waktu yang sepatutnya keluar darah haid maka boleh dikategorikan darah yang keluar ialah darah haid. Namun, puan perlu merekod jumlah minit atau jam darah yang keluar dalam tempoh 15 hari iaitu dari 4 Mac 2025 sehingga 18 Mac 2025. Sekiranya jumlah jamnya 24 jam atau lebih maka darah yang keluar adalah darah haid. Namun sekiranya jumlah jamnya kurang 24 jam maka darah yang keluar adalah darah penyakit (istihadhah).

Sekiranya darah yang keluar adalah darah istihadhah, puan perlu mengambil hukum wanita yang suci iaitu wajib solat dan puasa. Maka, puan perlu mengqadha’kan solat dan puasa puan pada hari-hari tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image