BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..saya hendak bertanya,boleh ke isteri kematian suami membuat rumah terbuka hari raya nanti.semasa raya tu,isteri dalam tempoh eddah lagi?

Terima kasih


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Dalam Islam, seorang isteri yang berada dalam tempoh ‘iddah selepas kematian suami perlu menjaga adab dan batasan tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak. Tempoh ‘iddah bagi wanita yang kematian suami adalah selama empat bulan sepuluh hari sebagaimana disebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke- 234:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنفُسِهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Dalam tempoh ini, seorang isteri hendaklah menetap di rumahnya dan tidak keluar tanpa keperluan mendesak. Namun, terdapat beberapa keadaan yang membolehkan isteri keluar, seperti bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, atau membeli keperluan harian sekiranya tiada ahli keluarga yang dapat membantunya. Dalam situasi ini, dia hendaklah menjaga batasan syariat dan adab yang telah ditetapkan. Kebiasaannya, keizinan keluar rumah diberikan pada waktu siang, kecuali bagi mereka yang terpaksa bekerja pada waktu malam seperti doktor dan jururawat. Selain itu, isteri dalam tempoh ‘iddah juga tidak dibenarkan bermusafir, termasuk untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.

Adapun bagi situasi seorang isteri kematian suami yang ingin membuat rumah terbuka hari raya adalah dilarang kerana ia tidak menepati konsep ihdad (berkabung) bagi wanita yang kematian suami seperti ditetapkan dalam Islam. Tambahan pula ia bukanlah satu perkara yang dihukumkan sebagai hajat dan keperluan yang mendesak serta dikhuatiri melanggar larangan dalam tempoh iddah seperti berhias, berwangi-wangian, memakai pakaian yang menarik minat orang ramai dan sebagainya. Justeru, perlu difahami bahawasanya disyariatkan 'iddah bagi wanita kematian suami adalah suatu perkara ta'abbudi (mengerjakan perintah Allah) dan di antara hikmah atau tujuan pensyariatanya adalah sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 8

message user image