BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya telah melafazkan taklik "kalau awak tak masuk dalam kereta, awak bukan isteri saya". Lafaz tersebut terlihat seakan taklik tidak bersyarat. Akan tetapi, saya memaksudkan bahawa perkara tersebut hanya berlaku pada ketika itu sahaja dan isteri juga turut faham perkara yang sama dan isteri pun terus masuk ke dalam kereta. Soalan saya, adakah taklik tersebut telah terhenti? Bagaimanakah situasi rumah tangga saya sekarang?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, lafaz taklik yang diucapkan oleh suami itu merupakan lafaz kinayah yang memerlukan niat. Oleh itu, sekiranya suami berniat menceraikan isterinya jika isteri tidak masuk ke dalam kereta, maka jatuhlah talak. Taklik tersebut terikat dengan masa ketika kejadian itu sahaja tambahan pula sememangnya suami juga bermaksud atau berniat sedemikian. Walau bagaimanapun, sekiranya masih timbul perasaan ragu-ragu, adalah disarankan untuk terus merujuk ke Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Agama Islam Daerah atau boleh juga terus merujuk ke Mahkamah Syariah untuk bimbingan lanjut dan pengesahan cerai atau tidak.

Realiti sesebuah kehidupan berumahtangga pasti ada badai dan geloranya, namun demikian pasangan suami isteri seharusnya berusaha sedaya upaya memelihara mahligai yang dibina dengan sebaiknya. Suami juga perlu sentiasa berhati-hati dengan setiap ucapan yang dilontarkan kepada isteri serta tidak bermudah-mudahan melafazkan ta'lik atau talak. Nabi SAW  menegaskan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud) 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 15

message user image