Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah menerima wang pampasan pemberhentian kerja sebanyak lebih kurang RM 22,500.00 pada tahun 2018. Oleh kerana tidak tahu tentang keperluan zakat pendapatan ini, semua wang pampasan telah habis dibelanjakan untuk keperluan sendiri disamping untuk belanja mencari kerja baharu. Bagaimana saya boleh menebus kembali zakat yang wajib keatas saya?
Jawapan
Merujuk kepada soalan, penebusan zakat yang wajib atau dengan kata lain adalah qada' zakat. Qada zakat bermaksud, melaksanakan zakat yang wajib ditunaikan pada masa lalu, namun gagal ditunaikan oleh kerana lupa, sengaja atau meninggalkanya dengan apa-apa alasan sehingga berlalu haulnya (setahun), maka ia wajib ditunaikan dengan kadar segera. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam Hambali dan Imam Syafie: “Ketika penunaian zakat itu dapat dilakukan dengan segera, maka orang yang mengakhirkan penunaiannya dianggap ceroboh (kepada kewajipan berzakat), sehingga dia mesti bertanggungjawab terhadap pencerobohan yang dilakukan.”
Rujuk Al-Mughni, Jilid 2, halaman 686 dan Al-Majmu’, Jilid 5, halaman 302
Manakala cara atau kaedah untuk menunaikan qada' zakat ialah berdasarkan kepada nisab ketika haul yang terdahulu iaitu pada tahun 2018, dengan kadar 2.5% dari jumlah pampasan tersebut. Pembayaran zakat ini juga boleh dibuat dengan mengunjungi cawangan zakat di seluruh negeri Selangor.
Sekian, terima kasih.