Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya akan melangsungkan pernikahan pada 20 April 2025 dan ingin bertanya mengenai wali. Ayah saya masih hidup dan boleh dihubungi, namun saya berhasrat untuk menggunakan wali hakim. Hal ini kerana ayah saya tidak menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang sejati, seperti tidak menunaikan solat lima waktu sejak saya menjadi anaknya selama 31 tahun. Ayah saya juga tidak menunaikan tanggungjawab seorang ayah seperti memberi nafkah semenjak saya kecil. Jika ayah saya menjadi wali, adakah perkahwinan saya tetap sah? Dan jika tidak, adakah saya boleh menggunakan wali hakim?
Saya juga mempunyai seorang abang dan dua adik lelaki yang juga tidak menunaikan solat lima waktu. Berdasarkan pembacaan saya, salah satu syarat bagi seseorang wali adalah tidak fasik. Oleh itu, saya hanya mempunyai pilihan untuk menggunakan wali hakim.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudari :
Salah satu daripada syarat sah wali adalah wali yang 'adil. 'Adil bermaksud tidak melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat, mengekalkan dosa kecil atau mencemarkan maruah diri seperti kencing di jalanan, berada dalam pusat-pusat hiburan, pusat perjudian atau seumpama dengannya. Sifat 'adil ini dilihat secara zahir dan bukannya secara batin. Memadai sesorang itu tidak secara terang terangan meninggalkan solat, tidak berpuasa atau terkenal sebagai peminum arak, maka dia dianggap sebagai 'adil dan dia layak menjadi wali dan sah akad nikahnya.
Dalam konteks pengamalan sekarang, telah menjadi kelaziman bagi Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah, sebelum mereka melaksanakan upacara akad nikah dan bagi memastikan segala syarat-syarat sah perkahwinan itu ditepati dan dipatuhi agar pernikahan itu sah pada hukum syara, maka Penolong Pendaftar Perkahwinan atau jurunikah akan mengajak semua hadirin terutamanya wali yang akan menjadi wali kepada anaknya untuk bertaubat dengan beristighfar kepada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Ini bagi memastikan wali bersih dari sebarang dosa semasa akad nikah dilangsungkan. Adapun sekiranya setelah akad nikah dilaksanakan, wali itu kembali melakukan perkara dosa dan maksiat kepada Allah SWT, maka ia tidak menjejaskan pernikahan anaknya yang telah dilaksanakan itu, kerana semasa akad nikah berjalan, kita yakin wali telah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Hal ini kerana pada zaman sekarang, adalah sukar untuk mencari orang yang tidak fasiq mengikut nilaian fasiq pada zaman dahulu. Justeru, sekiranya wali itu merupakan wali mujbir, maka hendaklah diminta untuk bertaubat terlebih dahulu sebelum berlangsungnya majlis akad atau mereka boleh wakilkan kepada imam atau jurunikah.
Sekian, terima kasih.