BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.Saya berusia 55 tahun Dan suami 57 tahun, mempunyai 5 orang anak.  Apa hukumnya bagi seorang isteri yang enggan bersama suami kerana  merasa sakit hati dengan perbuatan suami yang selingkuh sehingga membabitkan Pinjaman Wang dari selingkuhan Dan isteri yang terpksa membantu melunaskan hutang tersebut?Suami memang kaki perempuan dari awal saya mengenalinya, namun mungkin itulah jodoh saya. Suami tidak mampu memberi nafkah kepada saya Dan anak-anak kerana keberhutangan serius malah sayalah yang perlu menampung perbelanjaan harian, keperluan Pendidikan anak2 walaupun dalam keadaan serba tidak cukup kerana saya juga terlilit hutang Dan terpksa berhutang untuk keperluan mendesak. Namun demikian, dari awal perkahwinan memang suami jarang memberikan nafkah kepada saya dan anak-anak kerana saya juga bekerja. Suami lebih banyak membiarkan saya hidup Mandiri sehingga waktu mengandung anaknya pun saya perlu memandu sendiri dalam keadaan perut yang besar. Semua urusan mengurus anak saya lakukan sendiri termasuk menghantar Dan mengambil anak dari sekolah Selama bertahun- tahun sehingga anak2 selesai sekolah rendah. Suami juga tidak boleh menerima pendapat saya, silap cakap sikit dia akan melenting yang membuatkan saya kini cuma menjadi pendengar pasif tidak banyak malah pernah tidak merespon  cerita suami untuk mengelakkan pertengkatan.Sekarang pada usia senja, baru suami menuntut nafkah batin walaupun saya tau kemampuannya dalam keadaan hati saya sendiri sudah tidak ikhlas dengan suami. Saya memang tidak tidur bersama suami sudah bertahun2, bukan tak takut dosa tapi hati saya kesal, terkilan, kecewa dan kadang saya rasa benci. Persoalan saya, apa hukumnya kepada saya  sebagai isteri dalam situasi seperti ini? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Tanggungjawab isteri mentaati perintah suami pada perkara yang maaruf selagi dalam kerangka syara atau arahan itu tidak membawa kepada maksiat dan dosa kepada Allah SWT, walaupun isteri berasa tidak suka, kecewa atau benci kepada suaminya itu. Bahkan, terdapat hak-hak suami yang perlu dilunaskan oleh seorang isteri, antaranya melayan suaminya dengan baik atau menunaikan hasrat suami untuk tuntutan nafkah batin. Para fuqaha atau ulamak feqh bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram.

Begitu juga, nusyuz boleh terjadi apabila isteri menolak hubungan seksual walaupun dalam bentuk memegang pada anggota yang dipilih suami. Namun sebaliknya  tidak dianggap nusyuz isteri menolak kerana uzur seperti wanita tengah sakit yang membawa mudarat dengan bersetubuh, farajnya luka dan sedang haid . Sekiranya tiada keuzuran syara, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan dalil daripada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إلى فِرَاشِهِ فأبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلَائِكَةُ حتَّى تُصْبِحَ.

Maksudnya: Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.  (Riwayat al-Bukhari) 

Walau bagaimanapun, para suami juga harus memberi perhatian bahawa Allah SWT juga memerintahkan untuk menggauli atau bermu’asyarah isteri dengan cara yang paling baik kerana asas bagi hubungan badan suami isteri itu adalah bagi membina kemesraan dan bukanlah bagi melepaskan nafsu semata-mata. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa ayat 19 : 

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. 

Sehubungan itu, banyakkanlah berdoa dan munajat kepada Allah SWT agar rumahtangga puan dikurniakan kebahagian serta dipermudahkanlah segala ujian dan cabaran dalam rumahtangga. Moga ia dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 9

message user image