BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam.

Dahulu saya ada memohon biasiswa pelajaran MARA. Selepas disenarai pendek, saya telah dipanggil untuk temuduga. Banyak soalan telah ditanya semasa temuduga biasiswa tersebut.

Salah satu soalan yang ditanya adalah sebab & inspirasi saya untuk menjadi doktor. Saya tak tahu nak jawab apa, jadi saya mereka-reka jawapan. Saya jawab pak cik saya adalah doktor (untuk makluman, saya tak ada pak cik yang bekerja sebagai doktor). Saya jawab lagi bahawa dia yang cetuskan inspirasi untuk saya jadi doktor. Saya nampak kerja pak cik saya tu menarik, jadi saya pun nk jadi doktor.

Setelah beberapa lama selepas itu, saya ditawarkan biasiswa MARA untuk melanjutkan pelajaran.

Soalan saya, apa hukum biasiswa yang saya terima dulu? Sebab saya rasa saya menipu dalam temuduga tersebut sebab saya tak ada pak cik yang bekerja sebagai doktor pun. Mohon pencerahan.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Perbuatan menipu atau berbohong turut menjadi salah satu faktor hidup manusia menjadi tidak tenang dan tidak bahagia. Hadis yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali RA, dia berkata; aku telah menghafal sebuah hadis Rasulullah SAW, sabdanya:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ، فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ 

Maknanya: Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu, dan ambillah perkara yang tidak meragukanmu. Sesungguhnya jujur itu akan mententeramkan hati dan dusta akan menggusarkan hati. (Riwayat Al-Tirmizi).

Perbuatan menipu sememangnya ditegah dan ianya berdosa melainkan dalam keadaan tertentu yang dibenarkan syarak. Adapun dalam kes yang diceritakan, bukanlah suatu keadaan terdesak untuk menipu. Justeru, Tuan perlu bertaubat atas perbuatan ini serta berazam tidak akan mengulanginya lagi. Adapun biasiswa yang akan diperolehi atas dasar menipu tadi tidak memberi kesan kepada penerimanya. Malah, tuan juga mungkin menerima biasiswa tersebut atas faktor lain seperti prestasi akademik dan sebagainya yang tidak berkaitan dengan penipuan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 7

message user image