Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Persoalan saya
Jika tahun 2020, saya ada 5 hari tak puasa pada bulan Ramadhan. Pada tabun 2021, saya tak sempatganti puasa. Tetapi saya bayar fidyah. Dan pada 2022, saya masih tidak ganti puasa 2020. Adakah saya perlu bayar fidyah lagi untuk tahun 2020 pada tahun 2022? Adakah ianya berganda?
Mohon penjelasan. Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah sebulat suara membuat keputusan bahawa: Harus menggunakan 2 kaedah:
i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.
Ini bermakna puan mempunyai 2 pilihan:
1. Bayaran fidyah berganda:
Puasa Ramadhan tahun 2020 yang ditinggalkan hendaklah diqada' sebelum datangnya bulan Ramadhan tahun 2021. Seandainya gagal, maka denda atau fidyah hendaklah dibayar berdasarkan jumlah hari yang belum diqada'. Walaupun fidyah telah dibayar, sekiranya masuk bulan Ramadhan 2022 dan puasa tahun 2020 itu masih belum diqada', maka fidyah perlu dibayar semula berdasarkan jumlah hari yang belum diqada'.
2. Bayaran fidyah tidak berganda:
Jika puasa Ramadhan pada tahun 2020 telah dibayar fidyahnya, maka memadailah dengan satu kali bayaran fidyah sahaja. Walaupun berlalu bulan Ramadhan yang baru, puasa tersebut belum lagi diqada', tidak perlu lagi membayar fidyah di atas kelewatan tersebut. Namun puasa yang ditinggalkan itu tetap wajib diqada'.
Pilihan sama ada membayar fidyah secara berganda atau tidak berganda adalah berdasarkan kepada kemampuan puan. Bagi kiraan fidyah, puan boleh layari laman web Lembaga Zakat Selangor di sini: https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/fidyah/
Sekian, terima kasih