BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

Nama saya nazrim. Saya ada beberapa pertanyaan. Kini saya berkerja di German di salah satu syarikat di Hamburg. Dan saya sudah menetap disini selama setahun. Persoalan saya kepada tuan,

1) Jika tempat kerja saya membuat solat jumaat dan jemaah kurang dari 40. Adakah sah solat jumaat saya.

2) Saya berkerja disini dan kemana saya harus membayar zakat fitrah saya.

3) Saya juga ingij membayar zakat pendapatan, adakah dibenarkan saya membayar zakat di lembaga zakat di Malaysia atau lebih baik saya mencari lembaga atau pejabat pengurusan zakat di German?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 9 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Umat Islam sememangnya wajib melaksanakan ibadah Solat Jumaat setiap minggu sebagaimana firman Allah SWT di atas. Berdasarkan situasi tuan yang telah menetap di luar negara, maka keperluan menunaikan Solat Jumaat adalah wajib, namun ketetapan jumlah bilangan jemaah menurut Mazhab Syafie adalah tidak kurang 40 orang. Adapun Mazhab yang lain kurang 40 orang masih sah Solat Jumaatnya sebagai contoh Mazhab Maliki menetapkan jumlah jemaah adalah seminima 12 orang. Bergantung amalan di sana, maka eloklah menurut pandangan atau mazhab yang diamalkan di sesuatu tempat kerana terdapat ruang perbezaan pendapat dalam kalangan mazhab dalam isu ini.

 

2. Daripada Abu Juhaifah RA bahawa dia berkata:

قَدِمَ عَلَيْنَا مُصَدِّقُ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَأَخَذَ الصَّدَقَةَ مِنْ أَغْنِيَائِنَا فَجَعَلَهَا فِي فُقَرَائِنَا

Maksudnya: Telah datang wakil Rasulullah SAW untuk mengutip zakat dalam kalangan kami, maka dia mengambil zakat daripada kalangan kami yang kaya dan membahagikan zakat itu kepada orang miskin dalam kalangan kami. (Riwayat al-Tirmizi)

Nas di atas difahami oleh para ulama merujuk kepada keutamaan membayar zakat di negeri yakni tempat harta-harta zakat itu diperolehi. Manakala, tugas mengurus pengedaran atau pembahagian itu dilakukan oleh wakil Ulil Amri, Baitul Mal kepada asnaf yang layak.

Soalan 2 dan 3 adalah bersekali, selagi mana tuan telah menemukan agensi di German yang dipercayai menguruskan harta zakat, maka bayarlah di situ. Sebagaimana nas keutamaan membayar zakat di tempat dia bekerja. Sekiranya tiada agensi yang menguruskan harta zakat, maka bolehlah membayarnya di Malaysia atau mana-mana negara selagi mana kewajipan menunaikan zakat telah dipenuhi sebagai Muslim yang beriman dengan tertakluk kaedah-kaedah yang ditetapkan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 7

message user image