Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya nak minta pendapat tentang seseorang yang tiap-tiap hari qada solat sebab majikan (Cina) yang tidak membenarkan pekerjanya untuk menunaikan kewajipan solat.
Saya dalam dilema apabila seseorang yang saya taaruf ini seperti tidak ambil peduli tentang solat dan memarahi saya sebab gaji situ sudah tinggi. Dia mengugut saya untuk tidak bekerja di mana-mana tempat lagi sekiranya saya paksa dia untuk berhenti kerja dari tempat tersebut. Dia menuduh saya tidak memahami dirinya. Apabila saya meminta dirinya untuk berbincang dengan majikan, dia terlalu yakin dengan menyatakan bahawa majikannya sudah tentu tidak bagi solat dalam waktu bekerja. Saya dalam dilema ustaz, dia seolah-olah tidak percaya dengan rezeki Allah. Apa yang saya patut buat pada seseorang yang cuba saya taaruf ini?
Jawapan
Dimulakan dengan memetik Hadis Rasulullah SAW
“Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab daripada seorang hamba pada hari kiamat adalah salatnya. Apabila salatnya baik, naka ia telah beruntung. Namun jika salatnya rosak, maka ia akan menyesal dan sangat rugi. Jika terdapat ketidaksempurnaan salat wajibnya, maka Allah SWT berfirman, ‘Lihatlah apakah hamba-Ku memiliki salat sunnah.’ sehingga dapat menyempurnakan apa yang kurang dari salat wajibnya. Kemudian seluruh amalan (wajib) lainnya juga seperti itu.” ( Riwayat. Abu Daud )
Meninggalkan solat dengan sengaja merupakan satu kesalahan dan boleh mengundang dosa yang besar. Kefarduan solat tidak seharusnya diambil ringan. Meninggalkan solat hanya disebabkan majikan tidak mengizinkan solat bukanlah alasan yang kukuh meninggalkan solat. Urusan solat sebenarnya sangat mudah dan tidak perlu disusahkan. Solat tidak perlu mengambil masa yang lama. Cukup sekadar 5 minit sudah memadai untuk menunaikan satu solat fardu. Tambahan pula solat boleh dilakukan di mana-mana tempat yang bersih dan baik. Tidak semestinya hanya lakukan di surau.
Untuk itu teruskanlah memberikan nasihat dengan baik dan penuh hikmah. Terangkan kepada kawan tersebut bahawa solat ni mudah dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Jika dia tidak mahu mendengarnya, doakanlah kebaikan untuk dirinya.
Sekian, terima kasih.