BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum nak tanya jika lantai di bilik mungkin kena najis kemudian sebelum ini pernah mop 3 kali di lantai bilik itu.sekarang ini saya baru tahu kena mengalirkan air untuk sucikan lantai tersebut.adakah saya kena mengalirkan air sekali untuk sucikan lantai bilik itu?dan jika saya mengalirkan air di atas lantai tersebut sedikit demi sedikit adalah dikira sah ataupun tidak sebabnya lantai kat rumah ada yang tidak rata apabila jirus air dia akan bertakung.terima kasih


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tindakan mengelap menggunakan mop semata-mata bagi membersihkan najis adalah tidak dianggap sebagai menyucikan najis dan ianya tidak sah. Cara yang betul bagi menyucikan tempat yang terkena najis adalah dengan membuang terlebih dahulu ain najis tersebut dengan menggunakan tisu atau kain bersih sehingga hilang najis itu. Kemudian dialirkan/ tuang air ke atas kawasan yang terkena najis itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi, lalu dikeringkan kawasan tersebut dengan menggunakan kain atau mop bersih yang lain sehingga tiada kesan bau dan warna. Setelah proses itu dilakukan, maka kawasan yang terkena najis telah bersih dan suci daripada najis.

Namun, merujuk kepada persoalan tuan, 

Jika lantai bilik terkena najis mutawassitah (najis pertengahan seperti air kencing), cara menyucikannya adalah dengan mengalirkan air mutlak ke atas kawasan yang terkena najis hingga hilang sifat najis (bau, warna, dan rasa).

1) Jika sudah di mop 3 kali sebelum ini, tetapi tidak mengalirkan air, maka perlu mengalirkan air sekali lagi untuk memastikan kesucian.

2) Boleh mengalirkan air sedikit demi sedikit, asalkan air benar-benar mengalir dan tidak sekadar bertakung. Jika lantai tidak rata, pastikan air meresap dan keluar dari kawasan tersebut.

Jika air bertakung, boleh gunakan kain atau mop untuk membantu menyerap lebihan air, asalkan kain atau mop itu bersih.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 9

message user image