Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya nak buat pertanyaan tentang bayaran fidyah untuk puasa yang ditinggalkan bertahun sebelum bertaubat.
Contohnya: Saya sudah 15 tahun tidak berpuasa dengan sengaja. Sesudah saya bertaubat, wajibkah saya bayar fidyah berganda?
Kiraannya lebih dari kemampuan saya jika digandakan.
Harap dibalas pertanyaan ini untuk saya laksanalan tanggungjawab saya dengan sempurna.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan kerana ia menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Terdapat 2 kaedah bayaran fidyah yang boleh dipilih berdasarkan kemampuan, iaitu:
1. Tidak berganda: iaitu jumlah hari tidak berpuasa darab dengan nilai fidyah berdasarkan kepada jenis beras yang biasa dimakan atau atas kemampuan.
2. Berganda: iaitu menggandakan hasil darab hari ditinggalkan dengan nilai fidyah, didarabkan dengan tempoh tahun puasa itu ditinggalkan.
Justeru, individu bolehlah memilih kaedah yang dirasakan mampu untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, tidak menjadi masalah untuk membayar fidyah secara berperingkat dan beransur-ansur mengikut kemampuan. Adapun, bagi ibadah puasa yang ditinggalkan, ia wajib diganti mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Untuk mengetahui kaedah pengiraan yang sebenar, bolehlah merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk maklumat serta bimbingan lanjut.