BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Kedai saya bekerja di kawasan cina, jadi kawasan hadapan kedai saya kebiasaannya tempat laluan seekor anjing, setiap hari anjing tersebut akan lalu dihadapan kami (pada hari panas mahupun hujan) dan setiap pagi pekerja kedai kami akan mop kawasan tersebut, jadi soalan saya :-

1. Adakah kawasan hadapan (tiles/mozek) kedai kami dikira najis mughallazah?

2. Jika kami mop kawasan tersebut, adakah mop dan baldi tersebut ada najis mughallazah?

3. Jika air mop tersebut terkena pada pakaian (seluar dan kasut kami), adakah najis mughallazah ada pakaian kami?

4. Jika kami basuh pakaian kami dalam mesen basuh, adakah mesen basuh tersebut juga terdapat najis mughallazah?

5. Adakah semua pakaian kami yang lain (selepas basuhan pakaian kerja) yang menggunakan mesen basuh tersebut akan terkena najis mughallazah?

6. Adakah terdapat cara lain untuk basuh pakaian dan badan kami daripada najis mughallazah selain air tanah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam Islam, sesuatu itu dianggap suci selagi tidak ada bukti yang jelas ianya bernajis atau terkena najis. Jika anda hanya ragu-ragu tanpa kepastian, maka kawasan tersebut dianggap suci dan tidak perlu untuk  melakukan sertu. Sehubungan itu, jika menghukumkan sesuatu itu adalah bernajis hanya sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh, anda tidak perlu sertu. Islam tidak membebankan seseorang dengan perkara yang tidak jelas dan mengelakkan diri daripada perasaan was-was.

Oleh itu, merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1) Adakah kawasan hadapan (tiles/mozek) kedai dikira najis mughallazah?

Tidak secara automatik. Laluan anjing tidak menjadikan lantai tersebut bernajis, melainkan ada kesan najis seperti air liur atau kencing anjing. Jika hanya sekadar lalu tanpa meninggalkan najis, ia tidak dikira bernajis.

2) Jika kami mop kawasan tersebut, adakah mop dan baldi tersebut ada najis mughallazah?

Jika lantai itu benar-benar ada kesan najis (seperti air liur atau kencing anjing) dan mop digunakan tanpa sertu, maka mop dan baldi boleh terkena najis. Namun, jika lantai tidak ada kesan najis dan hanya mop biasa, ia tidak najis.

3) Jika air mop tersebut terkena pada pakaian (seluar dan kasut kami), adakah najis mughallazah ada pada pakaian kami?

Jika mop terkena najis mughallazah dan tidak disertu, maka air mop yang terpercik boleh membawa najis ke pakaian. Namun, jika mop itu digunakan pada lantai yang bersih, pakaian tidak terkena najis.

4) Jika kami basuh pakaian dalam mesin basuh, adakah mesin basuh tersebut juga terdapat najis mughallazah?

Jika pakaian yang dicuci ada najis mughallazah tetapi tidak disertu dahulu, maka mesin dan pakaian lain boleh terkena najis.

5) Adakah semua pakaian lain dalam mesin basuh juga terkena najis mughallazah?

Ya, jika ada pakaian bernajis mughallazah yang belum disertu terlebih dahulu, maka pakaian lain dalam mesin basuh juga boleh terkena najis secara hukum.

6) Adakah terdapat cara lain untuk basuh pakaian dan badan selain air tanah?

Dalam mazhab Syafii, air tanah adalah syarat untuk menyucikan najis mughallazah. Namun, jika ada produk atau sabun khas yang mengandungi tanah dalam kandungannya, ia boleh digunakan sebagai ganti air tanah untuk sertu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 7

message user image