BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya mengalami haid yang tidak teratur kerana masalah pcos dimana akan berpanjangan melebihi 15 hari. Dr bg saya pil perancangan untuk pastikan period saya normal. Selama 2 bulan period saya normal kembali kerana makan ubat. Tetapi pada bulan 3 pada hari yg ke 13 saya terlupa makan ubat dan ada darah keluar dan memerlukan selama 3 hari untuk darah itu berhnti kalau kembali makan ubat. Persoalan saya adakah hari ke 16 itu haid baru atau darah istihadah. Saya perlu memakan ubat selama 21 hari dan period akan keluar seperti biasa. Saya perlu ikut tempoh suci ubat atau macam mana?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Di dalam mazhab al-Syafi’i tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam. Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari. Secara umumnya, jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang keluar disebabkan oleh penyakit. Bagi darah yang keluar selepas daripada 15 hari maka ia tidak dikira sebagai darah haid dan solat adalah wajib ditunaikan pada waktu itu.

Walau bagaimanapun, jika darah keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid berkemungkinan ia merupakan keadaan darah bercampur antara haid dan istihadhah. Ia tidak hanya boleh ditentukan dengan 15 hari pertama adalah haid dan bakinya adalah istihadhah. Untuk membezakan antara darah haid dan istihadhah ia boleh ditentukan dengan dua kaedah berikut:

  1. Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah sama ada darah kuat atau lemah melalui perbezaan warna dan sifat darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah adalah darah istihadhah. Sebagai contoh 7/12 hingga 13/12 adalah darah kuat dan darah keluar sebelum 7/12 atau selepas 13/12 adalah darah lemah. Maka, hanya darah kuat yang keluar dari 7/12-13/12 sahaja dianggap darah haid dan selainnya adalah darah istihadhah. Jika tidak dapat dipastikan perbezaan darah tersebut kuat atau lemah, boleh menggunakan kaedah kedua iaitu;
  2. Kaedah adat kebiasaan haid puan yang normal. Jika adat sebelumnya adalah 7-8 hari adalah haid dan 26 hari adalah suci, maka darah yang keluar boleh ditentukan mengikut adat kebiasaan haid puan. 

Merujuk kepada keadaan di atas, Puan perlu mengambil perkiraan darah haid dan istihadhah berdasarkan adat kebiasaan, iaitu 2 bulan yang sebelum. Oleh itu, darah pada hari yang ke-16 merupakan darah istihadhah. Hal ini berdasarkan daripada dua sebab. Pertama adalah daripada perkiraan adat 2 bulan yang sebelum iaitu Puan mengalami 7 hari tempoh haid dan 21 hari tempoh suci. Maka, hari ke-16 itu masih termasuk dalam tempoh suci dan darah yang keluar itu merupakah istihadhah serta wajib menunaikan solat. Adapun berkaitan soalan seterusnya, tempoh suci Puan adalah sebanyak 21 hari berdasarkan adat kebiasaan sebelum ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 9

message user image