BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya nak tanya semasa saya sedang sertu baju sy yang terkena najis anjing iaitu menjirus air pada baju saya yang terkena najis anjing gayung saya sekali tersentuh pada baju tersebut adakah saya perlu sertu gayung saya sekali


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, air basuhan dari basuhan najis sudah dikira sebagai suci dan bersih. Sekiranya diyakini percikan air itu mengandungi najis, maka ia adalah air mutanajjis. Badan atau baju yang terkena percikan air tersebut perlu dibasuh atau disucikan. Walau bagaimanapun, sekiranya air percikan itu tidak mengandungi najis atau diragui, maka air percikan itu bukan najis. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji :

“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.” 

Justeru, dapat disimpulkan bahawa tuan perlu menyakini bahawa air basuhan itu telah suci dan bersih, maka tidak perlu disertu gayung tersebut. Bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan najis tersebut, kembali kepada kaedah Fiqh yang menyatakan:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.

Ini bermaksud, hukum asal sesuatu perkara itu adalah suci. Ia hanya akan menjadi mutanajjis (bernajis) sekiranya diyakini terkena najis. Mensyaki sesuatu itu terkena najis tidak menjadikan ia bernajis berdasarkan kepada kaedah Fiqh: 

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: Sesuatu yang diyakini tidak dapat dihilangkan oleh rasa syak (atau ragu-ragu). 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 11

message user image