Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM WBT.
DATO MUFTI,
Mohon penjelasan. Adakah batal puasa kita kerana berbuka ikut azan maghrib berkumandang. Dan bukannya mengikut matahari terbenam. Sedangkan langit masih cerah tetapi azan telah berkumandang menandakan masuk waktu Maghrib. Alasannya pada maksud berpuasa, Puasa Ramadan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah TERBENAM MATAHARI pada bulan Ramadan.
Mohon penjelasan Dato Mufti berkenaan perkara ini,
Jawapan
Hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Umar bin al-Khattab RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Jika malam menjelang daripada sini (arah timur) dan siang pergi daripada sini (arah barat), dan matahari terbenam, maka orang yang berpuasa hendaklah berbuka. (Riwayat al-Bukhari)
Waktu masuknya waktu solat Maghrib adalah apabila keseluruhan matahari terbenam di bawah ufuk barat. Justeru itu, waktu iftar atau berbuka puasa adalah sama dengan waktu solat Maghrib. Waktu maghrib tidak melibatkan suasana dan kecerahan langit ketika matahari terbenam. Sedangkan keadaan cahaya langit sama ada gelap, malap atau terang bergantung kepada astmosfera bumi, awan, haba dan wap air. Terbenamnya matahari secara keseluruhan sebagaimana takrifan masuknya waktu Maghrib dan kecerahan langit adalah 2 isu yang berbeza.
Di Negeri Selangor, pihak yang berautoriti mengeluarkan takwim waktu solat dan waktu berbuka puasa adalah Jabatan Mufti Negeri Selangor. Takwim waktu solat dan waktu berbuka puasa yang dkeluarkan adalah mengambil kira kriteria-kriteria yang telah ditetapkan sebagaimana maksud hadith.
Tuan perlu pastikan adakah azan tersebut dilaungkan menepati takwim solat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui laman web atau edaran bercetak dan jam yang digunakan adalah tepat sebagaimana waktu piawai tempatan yang ditetapkan oleh pihak SIRIM.
Sekian, terima kasih.