Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustad saya nak bertanya saya ibu tunggal dan duduk bersama keluarga saya ada mak, adik, isteri adik dan anak.. saya akan dapat bantuan makanan dari ahli zakat. soalan saya bolehkah saya kongsi bantuan makanan dengan keluarga saya....
Jawapan
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Taubah ayat 60:
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Sekiranya puan layak mendapat zakat, maka perkongsian harta zakat yang diperolehi juga diharuskan kerana ia telah menjadi hak puan menguruskan mengikut belas ehsan. Apatahlagi perkongsian itu bersama ahli-ahli keluarga yang memerlukan.
Sekian, terima kasih.