Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya adalah seorang mahasiswa lelaki yang diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat. Saya ingin tahu bagaimanakah patut saya menjalankan solat Jumaat saya jika jarak ke universiti ke rumah saya agak jauh dan saya menggunakan pengangkutan awam. Kelas pada hari Jumaat saya habis dalam pukul 12.30.
Masa saya untuk tiba di rumah saya adalah dalam 1.5 hingga 2 jam
1) Tetapi, jika saya balik rumah pada masa itu, anggaran sampai ke destinasi rumah saya dalam pukul 14:00. Saya telah melewatkan ataupun meninggalkan solat Jumaat.
2) Jika saya tunggu di universiti, dan menunaikan solat Jumaat di sana, saya akan sampai di rumah saya dalam anggaran 16:00.
Persoalannya, apakah patut saya buat?
Saya bermohon untuk dapatkan notifikasi di emel saya apabila jawapan telah disediakan.
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum meninggalkan solat Jumaat adalah haram jika tanpa uzur syarie kerana hukum menunaikannya ialah fardu ain, melainkan kepada perempuan dan kanak-kanak. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Justeru, dalam kemusykilan yang tuan alami hanya lebih kepada masalah pengurusan masa dan tempat. Oleh itu, tuan harus bijak merancang perjalanan bagi melaksanakan tuntutan solat jumaat yang dikira sebagai fardu ain ke atas diri tuan kerana tuan tidak dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai uzur syarie yang membenarkan untuk meninggalkan solat jumaat. Tidak menjadi kesukaran bagi tuan sekiranya melaksanakan dahulu solat jumaat di universiti jika tiada keadaan yang memudaratkan atau keperluan yang mendesak untuk pulang awal ke rumah. Selain itu, tuan juga boleh mencari masjid atau surau jumaat yang terdekat di sepanjang kawasan perjalanan pulang ke rumah kerana hak Allah SWT itu lebih penting dan utama berbanding hak diri kita sendiri.
Sekian, terima kasih.