Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya bekerja sebagai staff kesihatan. Ada 1 hari saya pergi mengesahkan kematian seseorang yang meninggal di tempat awam diahadapan kedai. Jadi di samping mayat dan pakaian dan lantai sekeliling tersebut penuh bulu anjing dan waktu tersebut lantai basah sebab hujan. Saya tengok banyak anjing berkeliaran disekitar situ. Jadi saya pijak lantai yang basah yang ada bulu anjing dengan tapak kasut saya…
Kemudian dalam masa yang sama saya ada pijak lantai ambulans dengan kasut tersebut pada waktu itu. Jadi lantai ambulans basah hasil pijakan saya. Kemudian saya ada tersentuh lantai ambulans dengan lantai yang lembap basah itu dengan tangan saya yang tidak pakai glove. saya tidak pasti dan ingat pada lantai ambulans ada bulu atau tidak. Cuma lantai tersebut basah hasil pijakan tapak kasut saya.
Kemudian pada waktu itu saya tengah bekerja jadi tiada tanah untuk sertu. Seingat saya , kemungkinan saya basuh guna sabun atau air biasa sahaja dan saya tidak pasti balik rumah saya sertu atau tidak sebab benda sudah berlaku agak 2-3 bulan
1.Soalan saya, saya telah memegang macam macam benda di rumah dan baju2 dan pelbagai peralatan. Bagaimanakah saya perlu buat ustaz. Adakah saya perlu sertu seluruh benda dalam rumah saya dan pakaian dalam rumah saya. Saya risau kalau najis hukmi telah berpindah ke merata tempat. Sekarang saya susah nak ibadat sebab saya rasa semua benda di sekeliling saya bernajis hukmi mughalzah.. kadang2 setiap kali saya pegang barang dekat rumah saya , saya mesti sertu tangan saya sebab saya rasa barang tersebut bernajis.
2..Bagaimana dengan pakaian yang saya telah basuh dan bercampur dengan pakaian lain dan mesin basuh yang saya guna dan barang2 yang telah tersentuh. Saya risau najis hukmi mughalazah tersebar?
3. Kadang kadang saya nak pergi masjid pun takut. Sebab saya rasa diri saya ini telah tercemar dengan najis. Dan takut menajiskan masjid pula.. sedangkan saya nak sangat solat berjemaah di masjid .
4. Saya sampaikan rasa nak buang semua pakaian saya seba tak sanggup nak sertu semua ustaz. Sedangkan kalau saya sertu pun. Kalau jemur saya masih lagi rasa bernajis sebab tempat jemuran pun bernajis sebab telah saya pegang sebelum ni
Saya harap jasa baik ustaz untuk menjawab persoalan saya yang sangat sangat mengganggu rutin harian saya sebab saya sentiasa berfikir tentang tersebarnya najis anjing disebabkan perbuatan saya. Kadang kadang saya ambil masa yang amat lama duduk di tandas hanya untuk sertu pakaian. Semoga Allah merahmati ustaz.. terima kasih
Jawapan
Dalam Islam, sesuatu itu dianggap suci selagi tidak ada bukti yang jelas ianya bernajis atau terkena najis. Jika anda hanya ragu-ragu tanpa kepastian, maka kawasan tersebut dianggap suci dan tidak perlu sertu. Sehubungan itu, jika menghukumkan sesuatu itu adalah bernajis hanya sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Jika sekadar ragu-ragu atau samar-samar tanpa bukti yang kukuh, anda tidak perlu sertu. Islam tidak membebankan seseorang dengan perkara yang tidak jelas dan mengelakkan diri daripada perasaan was-was.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan yang diajukan:
1) saya telah memegang macam macam benda di rumah dan baju2 dan pelbagai peralatan. Bagaimanakah saya perlu buat ustaz. Adakah saya perlu sertu seluruh benda dalam rumah saya dan pakaian dalam rumah saya. Saya risau kalau najis hukmi telah berpindah ke merata tempat. Sekarang saya susah nak ibadat sebab saya rasa semua benda di sekeliling saya bernajis hukmi mughalzah.. kadang2 setiap kali saya pegang barang dekat rumah saya , saya mesti sertu tangan saya sebab saya rasa barang tersebut bernajis.
Tidak boleh menganggap dengan hanya melihat anjing berkeliaran disekitar kawasan kejadian menjadi salah satu pembuktian menyatakan bulu yang terdapat pada lantai adalah dari anjing. Oleh itu, sebarang ketidakpastian tidak dianggap bernajis, maka kasut dan juga lantai itu tidak dianggap bernajis secara pasti.
2) Bagaimana dengan pakaian yang saya telah basuh dan bercampur dengan pakaian lain dan mesin basuh yang saya guna dan barang2 yang telah tersentuh. Saya risau najis hukmi mughalazah tersebar?
Jika tidak ada bukti kukuh pakaian tersebut terkena najis, maka pakaian tersebut dan pakaian yang lain juga adalah kekal suci.
3) Kadang kadang saya nak pergi masjid pun takut. Sebab saya rasa diri saya ini telah tercemar dengan najis. Dan takut menajiskan masjid pula.. sedangkan saya nak sangat solat berjemaah di masjid
Selagi tiada bukti yang jelas dan nyata bahawa badan, pakaian atau kasut terkena najis mughallazah, semuanya dikira suci. Pergi ke masjid dengan perasaan yang yakin tiada najis pada badan, pakaian atau kasut dan tunaikanlah solat berjemaah. Jangan biarkan perasaan was-was menguasai diri anda.
4) Saya sampaikan rasa nak buang semua pakaian saya seba tak sanggup nak sertu semua ustaz. Sedangkan kalau saya sertu pun. Kalau jemur saya masih lagi rasa bernajis sebab tempat jemuran pun bernajis sebab telah saya pegang sebelum ni
Ini adalah merupakan perasaan was-was yang sangat kuat, dan ini bukan dari kebiasaannya. Oleh itu, jangan biarkan perasaan ini mengawal hidup anda sehingga mengganggu konsentrasi hidup anda dalam melaksanakan amal ibadah harian. Banyakkan istighfar dan zikir kepada Allah SWT. Was-was ini adalah penyakit hati dan syaitan suka orang yang terlalu takut akan sesuatu sehingga menyusahkan diri sendiri.
Sekian, terima kasih.