Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ust, nak tnya sewaktu saya membasuh kemaluan selepas buang air kecil di tandas duduk, tiba-tiba air merecik di kulit saya. dalam tandas duduk itu saya yakin air telah suci. jadi bagaimana?
Jawapan
Air mutanajjis ialah air yang terdapat padanya najis yang dapat dilihat dengan mata. Air mutanajjis ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
Pertama: Air yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah. Air ini menjadi najis kerana terjatuh najis ke dalamnya, sekalipun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.
Kedua: Air yang banyak, iaitu yang mencukupi dua qullah (bersamaan 500 kati Baghdad atau hampir 217 Liter) atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau.
(Rujuk Al-Taqrirat al-Sadidat fi Masa’il al-Mufidah, mukasurat 62)
Berdasarkan soalan, keadaan air di dalam mangkuk tandas yang kurang dari dua qullah dan telah bercampur dengan air kencing dan air basuhan kemaluan merupakan air mutanajjis.
Kesimpulannya, sekiranya air merecik ke kulit dari dalam tandas duduk setelah membuang air kecil maka perlu dibersihkan kawasan kulit yang terkena.
Sekian, terima kasih.