Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya nak tanye,saya tahu tahi cicak itu najis dan jika barangan yang terkena tahi cicak itu perlu dicuci dengan cara yang betul, tetapi jika terdapat tahi cicak di dalam beg bagasi yang dipenuhi barang, adakah semua barang tersebut perlu dicuci? dan bagaimana pula jika beg tersebut sudah banyak bergerak dan barangan di dalam tergoncang, adakah semua barangan tersebut terkena najis tahi cicak ? Terima kasih ustaz, tolong beri penjelasan
Jawapan
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna, bau atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang warna, bau dan rasa.
Merujuk kepada persoalan tuan, Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Oleh itu,
1) Tidak perlu cuci semua barang di dalam beg. Cukup sekadar hanya barang yang terbukti terkena najis yang perlu dibersihkan.
2) Jika tahi cicak itu kering, najis tidak berpindah kecuali ada kelembapan.
3) Apabila banyak pergerakan ke atas beg tersebut, perlu dipastikan terlebih dahulu ada atau tidak najis cicak melekat pada barang-barang tersebut. Asingkan barang-barang yang terkena najis dengan barang-barang yang tidak terkena najis. Cuci barang-barang yang terkena najis dengan dialirkan air mutlak sekadarnya pada tempat yang terkena najis dan setelah itu dikeringkan dengan kain atau tisu. Manakala barang-barang yang tidak terkena najis boleh terus digunakan.
Sekian, terima kasih.