Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assakamualaikum.
Saya bertanya soalan ini untuk kali kedua,beranggapan soalan pertama tidak diterima oleh pihak Ustaz.
Masalah:
Saya telah menjalani urusniaga jual beli berjumlah RM ratusan ribu bersama seorang rakan yang kami tidak tahu urusniaga itu terlibat dengan unsur riba.Semua duit riba diterima yang mungkin nilaiannya RM puluhan ribu telah saya digunakan.Apabila mengetahui ianya riba,saya terus berhenti.
Soalan:
Bagaimana saya ingin menebus dosa2 riba saya.
Selain bertaubat nasuha,
1.Perlukah saya kira nilaian duit riba yang telah saya gunakan dan berikan kepada Baitul Mal atau memberi kepada maslahah umum atau
2.memberikan balik pada pemberi riba?
Semua duit riba tersebut telah habis digunakan dan saya benar2 tidak tahu urusniaga dijalankan sebelum ini berunsur riba.
T.Kasih.
Jawapan
Bersyukur kepada Allah SWT atas hidayah yang dikurniakan untuk tidak terlibat lagi dengan perkara riba setelah tuan mengetahuinya. Berkenaan urusniaga masa lalu yang tidak diketahui mempunyai unsur riba merupakan tindakan masa lalu, jika tuan telah bertaubat dengan taubat nasuha, semoga Allah menerima taubat tersebut dan diampunkan dosanya sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nur ayat 31:
Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Merujuk kepada persoalan:
Nilaian riba tersebut sekiranya boleh dikira, adalah sebaiknya diserahkan jumlah nilaian tersebut kepada baitulmal Majlis Agama Islam Negeri sebagai pelupusan harta yang tidak patuh Syariah.
Tidak perlu mengembalikan duit tersebut kepada pemberi riba, tetapi memperbanyakkan infaq dan sedekah sebagai tujuan menghapuskan dosa-dosa lalu.
Sekian, terima kasih.