Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Adakah student bawah 18 tahun boleh menjana duit menggunakan aplikasi seperti novelah, cashzine? Dan adakah duit yang dihasilkan haram?
Jawapan
Menurut undang-undang Malaysia dalam Akta 611 di bawah tajuk Akta Kanak-kanak 2001 memberi erti bahawa kanak-kanak adalah yang berumur 18 tahun dan ke bawah. Oleh itu, segala perbuatan yang ingin dilakukan oleh kanak-kanak tersebut mestilah di bawah pantauan dan tanggungjawab ibu bapa termasuklah jika ingin menjana duit atau melakukan pekerjaan sampingan. Merujuk kepada persoalan adalah tidak menjadi kesalahan untuk mereka atau pelajar yang berumur 18 tahun untuk menjana duit menggunakan aplikasi seperti novelah, cashzine dan sebagainya.
Hal ini kerana aplikasi yang disebutkan itu merupakan salah satu aplikasi atas talian (online) menggunakan laman web atau aplikasi yang boleh membantu seseorang untuk menjana duit dan mendapat keuntungan dengan mudah. Secara umum hasil pemerhatian yang dibuat menunjukkan aplikasi tersebut adalah tidak bertentangan dengan syarak serta tiada unsur yang haram atau meragukan. Mereka yang berumur 18 tahun adalah golongan yang baru masuk ke usia dewasa yang masih memerlukan nasihat, bimbingan dan kawalan daripada ibu bapa supaya tidak terjebak dengan perkara yang dilarang atau memudaratkan diri.
Sekian, terima kasih.