BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Saya ada menjalankan sebuah perniagaan, saya menjual earfon di pasaran malaysia dengan keuntungan jualan satu barang saya sebanyak 15 ringgit, dan saya berfikir untuk melanjutkan perniagaan saya kepasar global, jadinya boleh ke kalau saya naikkan harga barang yang saya jual? Saya jual earphone dengan harga 45 satu unit, dan dipasaran global saya ingin menjual dengan harga 20 usd, jadinya apa hukumnya sekiranya saya menaikkan harga jualan saya dengan cukup banyak? Mohon pencerahannya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan,secara asasnya tiada had penetapan kadar keuntungan yang boleh diambil oleh peniaga dalam sesuatu perniagaan yang dijalankan. Meletakkan harga jualan dengan harga yang tinggi untuk mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda bukanlah riba dan ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku penindasan atau kezaliman. Di samping itu, salah satu syarat dalam jual beli adalah dua pihak iaitu pembeli dan penjual bersetuju dengan harga jualan tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Harith, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا، أَوْ قَالَ: حَتَّى يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وإن كتما وكذبا محقت بركة بيعهما

Maksudnya: kedua-dua pihak dalam sesuatu jual beli mempunyai pilihan (khiyar) untuk membatalkannya selagi mana belum berpisah. Atau berkata: sehingga mereka berpisah. Jika mereka jujur dan jelas maka jualan tersebut diberkati. (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, harus bagi peniaga untuk meletakkan harga yang tinggi untuk mendapat keuntungan bergantung kepada kesesuaian dan perbezaan zaman, masa, tempat dan jenis barangan jualan tersebut. Adapun begitu, saranan kepada para peniaga agar memperbanyakkan sedekah bagi menyucikan harta yang diperolehi, seperti mana sabda Rasulullah SAW:

يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الشَّيْطَانَ وَالإِثْمَ يَحْضُرَانِ البَيْعَ فَشُوبُوا بَيْعَكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu hadir dalam aktiviti jual beli. Maka sucikanlah jual beli kamu dengan bersedekah. (Riwayat al-Tirmidhi)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 11

message user image