Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Syarikat kami menyediakan sebuah platform jualan atas talian. Kami berhak penuh untuk menentukan kedai dan barangan apa yang boleh dijual diatas platform kami. Apa hukumnya kami membenarkan sebuah kedai menjual alat sembahyang bukan islam menjual produk-produknya melalui platform kami? Bagaimana pula dengan restoran Bak Kut Teh? Adakah kami dikira bersubahah dalam aktiviti jual-beli tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, orang Islam secara umumnya tidak dibenarkan terlibat dengan apa-apa aktiviti yang melibatkan urusan agama selainIslam. Sekiranya tuan merupakan pemilik syarikat yang menguruskan platform jualan atas talian, sebaiknya elakkan untuk menerima permohonan individu bukan Islam yang diketahui akan menjual alat sembahyang bukan Islam. Hal ini kerana, haram bagi orang Islam untuk melibatkan diri dengan peribadatan orang bukan Islam dalam perkara yang diketahuinya secara jelas, dikhuatiri akan termasuk di dalam menyumbang atau mempromosikan agama lain. Firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Sebaiknya sebagai seorang Muslim hendaklah sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak melibatkan diri dengan perkara yang boleh membawa kepada fitnah dan salah faham dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, seharusnya tuan buatlah pilihan untuk tidak terlibat dengan perkara yang dilarang oleh syarak agar mendapat rezeki yang diberkati.
Sekian, terima kasih.