Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Bolehkah Tuan Mufti jelaskan berkaitan perkara dibawah?
1. Menaikkan harga dalam perniagaan itu biasa, tetapi kuantiti harus kekal.
Jika harga naik tetapi kuantiti dikurangkan, saiz dikecilkan, atau lebihkan ais daripada air, itu sudah dianggap menipu dan mencuri.
Barang mahal dan modal tinggi boleh difahami, tetapi harga baru sepatutnya sudah menampung kos tersebut. Jangan ambil keuntungan berlebihan dengan cara yang tidak jujur kerana pembeli akan rasa tertipu.
Ingat, menipu dalam perniagaan itu berdosa. Berniagalah dengan jujur mengikut syariat Islam. ✌️
(Ini adalah copy&paste hantaran dalam fb)
2. Adakah jika sebelum ni, seorang peniaga hanya memberi sahaja telur tanpa di caj kemudian peniaga tersebut declare untuk telur akan di caj dengan sekian harga asbab kenaikkan harga barang yang semakin tinggi dan kos modal juga semakin tinggi, dikira juga menipu dalam perniagaan?
Mohon pencerahannya Tuan Mufti.
Sekian, terima kasih.
Masalam.
Jawapan
Perniagaan merupakan suatu pekerjaan yang mulia kerana dapat memenuhi keperluan dan kehendak manusia. Ia juga merupakan suatu pekerjaan yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Merujuk kepada persoalan, sebagai seorang peniaga, hendaklah mempunyai sikap seperti:
1) Jujur dan amanah dalam perniagaan walaupun harga dinaikkan berikutan barang dan modal yang semakin mahal dengan menjaga kualiti dan kuantiti barang tersebut. Perkara ini supaya mengelak daripada terlibat dengan penipuan dalam perniagaan. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW telah melalui timbunan makanan. Lalu baginda memasukkan tangan Baginda ke dalam makanan tersebut. Jari-jarinya terasa basah. Baginda berkata: Apakah ini wahai tuan kedai? Tuan kedai menjawab: Ia terkena hujan, wahai Rasulullah. Baginda berkata: Mengapa tidak meletakkannya di bahagian atas makanan (yang basah itu) supaya orang ramai dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan dari kalangan kami. (Hadis Riwayat Muslim)
2) Meningkatkan harga barang jualan atau mengenakan caj pada barang yang sebelum ini tidak dikenakan caj adalah tidak menjadi kesalahan jika perubahan tersebut dilakukan dengan mengambil kira kos barang dan modal yang semakin mahal. Peniaga berhak untuk meletakkan harga dan mengambil keuntungan atas sesuatu perniagaannya jika perkara tersebut tidak menzalimi dan menganiaya pembeli. Adapun begitu, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu perubahan harga barang tersebut supaya pembeli tidak tertipu dan bersetuju untuk meneruskan pembelian tersebut.
Sekian, terima kasih.