Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. saya ada 3 soalan.. 1 jika suami menyebut aku cerai kan kamu, tetapi tidak menyebut talak, adakah talak tetap jatuh? 2 mengenai taklik.. contoh nya suami berkata naik moto ni kalau tak naik maka jatuh.. ayat nya tergantung di situ, adakah sah taklik itu? 3 Adakah sah taklik klau suami tidak rela dan hanya ikut apa yang istri cakap kerana tidak mahu bergaduh..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara,
1. Ayat yang disebut oleh suami berbunyi "aku cerai kan kamu", adalah lafaz cerai atau talak yang sorih (jelas) maksudnya. Walaupun perkataan talak tidak disebut, dengan melafazkan perkataan "cerai" boleh menyebabkan jatuh talak ke atas isteri. Talak akan jatuh walaupun suami tidak berniat talak. Ini kerana telah menjadi uruf kebiasaan bahawa perkataan cerai itu bermaksud talak.
2. Ucapan suami kepada isteri: "naik moto ni kalau tak naik maka jatuh", boleh menjadi taklik talak sekiranya suami berniat jatuh talak semasa melafazkan ucapan tersebut. Sekiranya suami tidak berniat sedemikian, maka taklik talak tidak berlaku.
3. Seandainya lafaz taklik talak yang diucapkan oleh suami adalah lafaz yang sorih atau jelas, dibimbangi boleh membawa kepada berlakunya taklik talak. Melainkan suami dipaksa melafazkannya yang sekiranya dia tidak melafazkannya akan menyebabkan berlaku kemudharatan yang besar.
Walau bagaimanapun, pihak yang berbidangkuasa menentukan suatu lafaz talak atau taklik talak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disarankan untuk merujuk perkara ini kepada mereka, atau melaporkannya kepada pihak Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan penjelasan dan khidmat nasihat kekeluargaan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.