Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Pada hari isnin, rabu & khamis, saya akan bekerja di office di seremban. Pada hari selasa, jumaat, sabtu saya bekerja di rumah (work from home) di selangor.
Jadi pada pagi isnin saya akan bertolak ke seremban. Petangnya saya akan pulang ke selangor. Selasa WFH. Pagi rabu bertolak ke seremban dan akan tidur di rumah sewa company pada malam rabu. Khamis mmg sudah di seremban dan akan pulang ke selangor pada petang khamis. Saya akan duduk di selangor dari petang khamis sehingga pagi isnin. Rumah di selangor adalah rumah parents.
1) Berdasarkan situasi di atas, di manakah maustatin saya yg membuat saya tidak menjadi musafir? Pada perkiraan saya, saya tidak dikira bermukim baik di selangor dan juga negeri sembilan.
2) Adakah saya dikira musafir apabila berada di seremban? Sbb saya ada dengar yg tidak boleh solat jamak qasar di tempat krja.
Jawapan
Bagi menjawab persoalan di atas, perlu diterangkan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan mastautin dan mukim.
Mastautin: Penduduk asal di suatu kawasan yang tidak berhasrat untuk keluar atau berpindah dari kawasannya itu melainkan jika ada keperluan dan masih berhasrat untuk pulang ke kawasan tersebut pada waktu tertentu.
Mukim: Seseorang yang berniat untuk menetap di suatu kawasan yang bukan tempat asalnya selama empat hari tidak termasuk hari masuk dan keluar atau lebih dari empat hari.
Berdasarkan kedua-dua definisi di atas, boleh disimpulkan jawapan bagi setiap persoalan:
1) Saudara dianggap bermastautin di Selangor. Oleh itu, tidak boleh solat secara jamak dan qasar apabila berada di Selangor.
2) Saudara dianggap sebagai bermukim di Seremban sekiranya saudara menginap di sana melebihi 3 hari, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar. Berdasarkan keterangan yang diberikan, saudara menginap tidak melebihi 3 hari di Seremban. Oleh itu, diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar sepanjang perjalanan dan semasa berada di Seremban.
Akan tetapi, perlu diingatkan bahawa keadaan di atas tertakluk kepada syarat qasar dan jamak solat, iaitu:
1. Solat yang diqasarkan adalah solat fardu empat rakaat sahaja. Adapun jamak, berlaku pada solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak.
2. Perjalanan dilakukan dengan tujuan yang dibenarkan syarak di mana dalam konteks ini adalah tujuan pekerjaan yang dibenarkan. Adapun bermusafir atas tujuan yang haram seperti untuk mencuri dan sebagainya, maka tidak dibolehkan jamak dan qasar.
3. Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah atau lebih, bersamaan dengan 81km atau lebih.
4. Sudah melepasi kawasan mastautin atau mukim.
5. Mempunyai pengetahuan tentang hukum-hakam solat jamak dan qasar walaupun sedikit.
Sekian, terima kasih.