BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Adalah dimaklumkan bahawa saya, Peguam Syarie Siti Nurhafizah Binti Dato’ Mohd Sharif dari Tetuan Yusfa Hanis & Partners.

Bahawa kini saya sedang mewakili anakguam saya yang mempunyai Kes Penceraian Secara Takliq (yang tertera di belakang Sijil Nikah). Walaubagaimanapun, anakguam saya ini pernah disabitkan penceraian (kaedah penceraian biasa di Mahkamah) dan juga pernah disabitkan ruju’.

Maka menjadi kemusykilan di dalam Mahkamah Yang Mulia, sama ada ADAKAH LAFAZ TAKLIQ YANG DIBACAKAN KETIKA PERNIKAHAN MASIH TETAP TERPAKAI, SEDANGKAN PIHAK-PIHAK PERNAH DISABITKAN BERCERAI (Mahkamah arahkan batalkan Sijil Nikah) DAN JUGA TELAH DISABITKAN RUJU’ ?

TARIKH

FAKTA

09-03-2019

PERKAHWINAN PIHAK-PIHAK 

15-08-2020

PENCERAIAN PIHAK-PIHAK (CERAI BIASA & TELAH DISAHKAN OLEH MAHKAMAH)

19-08-2020

RUJU’ PIHAK-PIHAK (TELAH DISAHKAN OLEH MAHKAMAH)

 

Segala perhatian dan kerjasama daripada pihak Tuan amatlah kami hargai dan diucapkan ribuan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Pada asasnya taklik talak yang dilafazkan oleh suami adalah bersifat kekal dan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan. Namun, taklik talak akan terbatal sekiranya perkara yang ditaklikkan berlaku. Begitu juga sekiranya berlaku penceraian secara bain, yang mana suami isteri tersebut perlu melakukan akad nikah dan pemberian mahar yang baharu sekiranya mereka ingin hidup kembali sebagai suami isteri, maka taklik talak yang berlaku pada perkahwinan yang sebelumnya akan terbatal.

Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku penceraian secara raj'i dan suami rujuk kembali semasa dalam tempoh iddah, maka ia tidak membatalkan talak taklik yang dilafazkan sebelumnya. Ini kerana talak raj'i tidak membatalkan milk (pemilikan suami terhadap isteri), berbeza dengan talak bain yang menghilangkan milk

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan fakta yang diberikan, seandainya berlaku penceraian, kemudian suami melakukan rujuk, maka ia tidak membatalkan taklik talak yang dilafazkan sebelum itu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 10

message user image