Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t ustaz..
Saya ingin bertanya.. jika saya dan bakal pasangan ingin berkahwin tanpa pengetahuan keluarga (wali) dan kami ke pejabat agama islam untuk menceritakan masalah berkenaan wali enggan diatas sebab keluarga pasangan saya percaya pada dukun yang mengatakan salah seorang daripada kami akan meninggal dunia jika kami bernikah.. dan kami risau keluarga akan bertindak lebih dibluar jangkaan akan ke dukun untuk buat perkara yang salah disisi agama seperti santau dan lain-lain.. dalam masa yang sama kami berniat untuk membuktikan bahawa percaya pada dukun itu berdosa dan tidak betul sama sekali setelah kami bernikah dan diizinkan Allah umur kami panjang.. disebabkan itu kami tidak mahu keluarga tahu kami hendak bernikah.. adakah ada jalan yg boleh selesaikan untuk kami bernikah dan dikira sah atau tidak ya jika kami bernikah tanpa pengetahuan keluarga (wali)?
Jawapan
Menjawab pertanyaan saudara :
Wali adalah merupakan salah satu daripada rukun-rukun nikah yang wajib ada bagi memastikan pernikahan itu sah pada hukum syara. Wali juga merupakan orang yang mempunyai hak untuk mengahwinkan anak perempuan di bawah jagaannya dengan syarat-syarat tertentu. Ia adalah atas dasar tanggungjawab bagi ahli keluarganya dan juga hak keistimewaan seorang bapa dalam melaksanakan perkahwinan anaknya sepertimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulama.
Sekiranya wali itu enggan, pihak perempuan boleh :
1. Membuat aduan di Pejabat Agama Islam Daerah tempat tinggalnya untuk dilaksanakan sesi rundingcara berkaitan keengganan wali ini. Pegawai di Pejabat Agama Islam Daerah boleh untuk memanggil wali untuk proses tersebut sekiranya perlu dan sesuai.
2. Memfailkan kes ini ke mana-mana Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggalnya untuk memohon menggunakan wali hakim.
Dalam masa yang sama, banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT, bermunajat, serta solat sunat hajat dengan penuh ikhlas dan pengharapan, agar Allah SWT melembutkan hati wali untuk bersetuju dan rela untuk mewalikan bagi pernikahan saudara. Sekiranya ada mana-mana orang yang dihormati oleh pihak wali dan keluarganya, bolehlah mereka ini membantu untuk memberikan nasihat dan panduan kepada wali dan keluarganya bahawa ajal dan maut itu adalah urusan Allah SWT dan telah menjadi rahsia ilmu Allah SWT. Manusia tidak akan mampu untuk menyingkap rahsia dan ketentuan Allah SWT sehinggalah perkara itu berlaku serta menegaskan bahawa percaya kepada sesuatu selain Allah SWT boleh membawa kepada rosaknya akidah seseorang itu sehinggalah dia bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha.
Sekian, terima kasih.