Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Dato Mufti
Saya ada persoalan berkaitan kewajipan lelaki untuk solat berjemaah di surau atau masjid. Ada pandangan yang menyatakan wajib bagi setiap lelaki untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid. jika lelaki tersebut sudah berumahtangga, apakah kewajipannya utk solat berjemaah bersama isteri dan anak dirumah atau di masjid. Soalan saya seterusnya berkaitan situasi ini. Suami dan isteri berselisihan dan isteri kata "saya akan tuntut di masyar nanti tangggungjawab suami x ajak saya solat berjemaah". mohon pandangan Dato mufti terhadap situasi ini
Jazakallah
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan,
1. Solat Berjamaah di Masjid
Solat berjemaah di masjid adalah satu tuntutan yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Terdapat pandangan ulama yang mewajibkannya, seperti Mazhab Hanbali, berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang mendengar azan dan tidak datang (ke masjid untuk solat berjemaah), maka tiada solat baginya kecuali ada keuzuran."
(HR Ibnu Majah, Daruqutni, dan al-Hakim)
Namun bagi mazhab Syafii dan Hanafi, solat berjamaah di masjid adalah sunat muakkad (sangat dituntut) tetapi tidak wajib.
2. Kewajipan Suami dalam Mendidik Isteri dan Anak-anak
Suami bertanggungjawab membimbing isteri dan anak-anak dalam urusan agama, termasuk menunaikan solat dan membentuk suasana keislaman dalam rumah tangga. Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka..."
(Surah At-Tahrim: 6)
Oleh itu, seorang suami digalakkan untuk mengajak isteri dan anak-anak solat berjemaah di rumah, terutamanya jika keadaan tidak mengizinkan untuk ke masjid.
3. Solat Berjemaah di Rumah atau Masjid?
Jika seorang lelaki telah menunaikan solat berjemaah di masjid, tiada keperluan untuknya mengulang solat berjemaah di rumah. Namun, jika dia memilih untuk solat di rumah demi membimbing keluarganya, itu juga satu amalan yang baik.
4. Dakwaan Isteri "Saya Akan Tuntut di Mahsyar"
Isteri berhak menegur suami dalam hal kebaikan, tetapi perlu dilakukan dengan penuh hikmah dan tanpa menimbulkan ketegangan dalam rumah tangga. Dalam isu ini: jika suami telah menjalankan tanggungjawabnya dalam membimbing solat, maka ia telah menyempurnakan tanggungjawabnya. Namun jika suami cuai dan mengabaikan tangunggujawabnya maka si isteri boleh menasihati dengan penuh hikmah tanpa menggunakan ancaman emosi.
Oleh itu, seorang suami digalakkan untuk solat berjemaah di masjid, tetapi jika dia memilih untuk berjemaah di rumah dengan isteri dan anak-anak demi membimbing mereka, itu juga satu tindakan yang baik. Dalam rumah tangga, nasihat menasihati perlu dilakukan dengan kasih sayang, bukan dengan ancaman tuntutan di akhirat.
Sekian, terima kasih.