Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya lafaz taklik pada isteri saya, sbb isteri saya kata dia tak sanggup tinggal dgn saya.. setelah ditanya berulang kali.. katanya dia ada lelaki lain dlm hatinya.. saya hanya nak.mencegahnya. takde niat nak menceraikan.. jadi saya pun tak sengaja terlafaz cerai taklik
Lafazny
Kamu nak ke cerai, abg bagi cerai auto kalau kamu pergi jumpa lelaki tu lagi..
beberapa hari lepas tu, isteri saya pergi jumpa lelaki tersebut di kedai runcit. Katanya sekejap je jumpa sembang2.
Soalan: adakah isteri saya telah jatuh talaknya...
Seminggu kemudian, adik isteri saya call saya, minta saya lafaz cerai pada isteri saya malam itu juga katanya utk pengesahan cerai sbb dah jatuh talak... Saya jadi confius, bercelaru.. setelah dipaksakan. Malam tu, saya dengan berat hati melafazkan cerai.
Lafaznya
Abg minta maaf banyak2. Salah abg pada kamu banyak. abg ceraikan kamu.
Soalan : adakah jatuh talak kedua.?
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan :
1. Lafaz yang pertama itu tidaklah termasuk dalam cerai taklik kerana ia hanyalah suatu perkhabaran (khabari) atau kenyataan atau semacam pertanyaan daripada suami kepada isterinya iaitu isteri nak ke cerai? Dan sekiranya isteri jumpa lelaki itu, maka suami perlu dan boleh melafazkan cerai kepada isterinya. Kalau suami tidak ada melafazkan cerai selepas isteri jumpa lelaki itu, maka talak tidak berlaku.
2. Adapun lafaz "abg ceraikan kamu", ia adalah lafaz yang soreh atau jelas dan ia boleh membawa kepada jatuhnya talak.
Walaubagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.