Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan, saya nak tanya mengenai hubungan jimak/intim suami isteri. Jika berhubungan intim tetapi tidak mengeluarkan air mani adakah perlu mandi wajib bagi suami dan isteri tersebut?
Jawapan
Antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi ialah janabah. Dalam Fiqh Manhaji disebutkan seseorang itu dianggap sebagai telah berjunub disebabkan oleh dua perkara iaitu:
Pertama: Keluar air mani sama ada di kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal.
Kedua: Bersetubuh sekalipun tidak keluar air mani.
Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya suami isteri melakukan persetubuhan, maka diwajibkan bagi suami isteri tersebut untuk mandi wajib sekalipun tidak keluar air mani. Adapun hubungan intim yang tidak melibatkan persetubuhan, tidak perlu mandi wajib jika tidak keluar air mani.
Sekian, terima kasih.