Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Adik perempuan saya sudah bercerai dalam setahun dan mempunyai seorang anak berumur 5 tahun.
Demi menjaga emosi dan mental anak tersebut, dan tidak mahu pergaduhan besar dengan bekas suami, adik perempuan saya masih tinggal serumah bersama bekas suami hingga ke hari ini.
Adik saya memakai tudung di rumah dua tingkat tersebut untuk manjaga aurat, dan mereka tinggal di bilik yang berasingan.
Ibu bapa saya tidak mahu masuk campur dalam hal ini kerana bekas suami adik saya baik orangnya dan seoranf doktor, yang telah banyak membantu semasa memerlukan. Dia juga seorang yang tidak berkira.
Apa yang perlu saya lakukan sebagai abang sulung dalam keluarga? Adik saya agak berkeras tidak mahu sesiapa masuk campur dalam urusan ini.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, status hubungan mereka yang telah bercerai dan melepasi tempoh iddah tanpa ada rujuk adalah seperti hubungan ajnabi (orang asing). Hukumnya adalah haram tinggal serumah kerana tiada ikatan yang sah disisi syarak.
Menurut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 Seksyen 29(1) Mana-mana-
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya;
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Justeru, sebagai abang atau ahli keluarga terdekat hendaklah menasihati mereka berkenaan perkara ini. Tambahan pula mereka tahu dan faham bab hukum hakam halal dan haram sesuatu hubungan diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Jika tiada tanda-tanda untuk bernikah semula dan hidup sebagai suami isteri, wajarlah tinggal berasingan atau tinggal berhampiran diantara satu sama lain jika berkaitan dengan hal anak. Lambat laun anak akan faham situasi kedua ibu bapanya di atas pemerhatiannya sendiri.
Sekian, terima kasih.